Tular Video Myvi Diancam Sekumpulan Geng Motosikal, Polis Buru 20 ‘Mat Motor’

Entertainment
29 Sep 2025 • 12:53 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Baru-baru ini, tular satu klip video sebuah kereta Perodua Myvi dikepung dan diancam sekumpulan geng motosikal.

Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, kejadian itu berlaku berhampiran Plaza Tol Batu 13, Puchong, awal pagi Ahad, lapor Sinar Harian.

Pemandu Myvi yang juga lelaki berusia 52 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan, tampil membuat laporan polis sejurus selepas kejadian itu.

“Polis sedang giat menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Semakan mendapati dianggarkan seramai 20 penunggang motosikal terbabit dalam insiden ini,” katanya.

image is not available image is not available

Pihak polis kini dalam usaha mengesan serta menahan individu yang terlibat bagi melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

Menerusi rakaman tular yang berdurasi 29 saat itu, dipaparkan kereta dipandu pengadu dikelilingi sekumpulan penunggang motosikal berhampiran Plaza Tol Batu 13.

Dapat dilihat, motosikal bergerak rapat di kedua-dua sisi dan hadapan kereta seolah-olah cuba mengepung serta menghalang laluan kenderaan pengadu.

Seorang daripada penunggang motosikal turut dilihat menumbuk cermin bahagian pemandu sebelum menendang pintu di bahagian sama, menyebabkan pemandu memperlahankan kereta bagi mengelak insiden lebih buruk.

Sumber: Sinar Harian, X

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.