Tular Video Myvi Dikelilingi Sekumpulan Penunggang Motosikal, Polis Buat Siasatan

LocalPolitics
29 Sep 2025 • 12:45 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

image is not available
Tular Video Myvi Dikelilingi Sekumpulan Penunggang Motosikal, Polis Buat Siasatan

Satu rakaman video berdurasi 29 saat yang memaparkan sebuah kereta Perodua Myvi dikelilingi sekumpulan penunggang motosikal tular di media sosial sejak semalam.

Myvi dikelilingi sekumpulan penunggang motosikal

Menurut laporan Berita Harian, kejadian itu dipercayai berlaku berhampiran Plaza Tol Batu 13, Puchong, kira-kira awal pagi Ahad.

image is not available

Video berkenaan menunjukkan puluhan motosikal bergerak rapat di kedua-dua sisi serta hadapan kereta, seolah-olah cuba mengepung dan menghalang laluan kenderaan terbabit.

Keadaan bertambah tegang apabila seorang penunggang bertindak menumbuk cermin bahagian pemandu sebelum menendang pintu hingga menyebabkan cermin sisi kereta patah.

image is not available

Pemandu kereta berkenaan kemudian terpaksa memperlahankan kenderaan bagi mengelak insiden lebih serius.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, pemandu Myvi berusia 52 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan membuat laporan polis sejurus selepas kejadian.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi dan punca sebenar masih dalam siasatan. Dianggarkan kira-kira 20 penunggang motosikal terbabit dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

image is not available

Polis turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, serta menggesa saksi tampil memberikan maklumat.

Sumber: Berita Harian (Nor Azizah Mokhtar)