Tun M hadir PAT Pejuang, penampilan pertama acara parti selepas pemergian Tun Hasmah

LocalPolitics
15 Nov 2026 • 11:59 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tun M hadir PAT Pejuang, penampilan pertama acara parti selepas pemergian Tun Hasmah
Dr Mahathir hadir pada PAT Pejuang di IDCC Shah Alam pada Ahad.

SHAH ALAM – Selepas hampir tujuh minggu kehilangan isteri tercinta, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali menghadiri acara parti menerusi Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2026 Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, pada Ahad.

Negarawan berusia 101 tahun itu tiba pada jam 11.37 pagi, sekali gus menarik perhatian perwakilan dan pemerhati politik yang mengikuti perhimpunan berkenaan.

Beliau yang masih menggunakan kerusi roda dilihat meluangkan masa bersalaman dan beramah mesra dengan pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan perwakilan yang hadir pada perhimpunan berkenaan.

Sebelum itu, Tun Mahathir terlebih dahulu dipercayai menziarahi pusara isterinya, Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya.

Kehadiran pengasas Pejuang itu dinantikan selepas beliau kehilangan isteri tercinta yang meninggal dunia pada 28 September lalu.

Pemergian Allahyarham Tun Hasmah pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, menyaksikan Dr Mahathir kehilangan teman hidup yang mendampinginya selama 70 tahun sejak mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956.

Susulan pemergian itu, Dr Mahathir turut dimasukkan ke IJN untuk menjalani pemerhatian.

Pada 26 Oktober lalu, beliau tidak dapat menghadiri Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berikutan keadaan kesihatannya yang kurang mengizinkan.

Anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir ketika itu memaklumkan bahawa bapanya sudah berusaha menyiapkan teks ucapan dan berhasrat menyampaikannya sendiri, namun tidak dapat berbuat demikian kerana keadaan kesihatan yang kurang memuaskan sejak kebelakangan ini.

Mokhzani kemudian membacakan ucapan berkenaan bagi pihak bapanya pada forum tersebut.

Perkembangan itu menjadikan kehadiran Dr Mahathir pada PAT Pejuang kali ini turut mendapat perhatian, memandangkan ia merupakan antara penampilan beliau dalam acara parti selepas pemergian Tun Hasmah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved