
KUALA LUMPUR - Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi menjalani pemantauan dan berehat.
Maklumat tersebut dikongsi anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Mokhzani dipetik sebagai berkata, negarawan berusia 101 tahun itu dimasukkan ke IJN semalam.
Pembantu kanannya, Sufi Yusoff pula berkata, beliau masih menunggu perkembangan daripada pasukan perubatan, namun menegaskan keadaan Dr Mahathir tidak membimbangkan.
“Saya tahu ada khabar angin malam tadi yang mengatakan Tun M pengsan, tetapi perkara itu tidak benar. Saya tidak begitu pasti bagaimana perkara itu dilaporkan, tetapi beliau tidak pengsan,” katanya.
Keadaan kesihatan Dr Mahathir menjadi perhatian ramai selepas isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, meninggal dunia dua hari lalu di IJN pada usia 100 tahun.
Jenazah Allahyarham Dr Siti Hasmah dikebumikan mengikut Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara, Presint 20 di Putrajaya pada hari yang sama. - Getaran, 30 September 2026





