hamden08/09/2026 - 10:50 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Sept - Kedudukan tunai bersih CBH Engineering Holding Bhd (CBHB) yang kukuh bukan sahaja membolehkan kumpulan membiayai keperluan modal kerja bagi buku tempahan yang semakin berkembang tanpa perlu mendapatkan pinjaman baharu, namun menyokong prospek pendapatan dalam tempoh sederhana.
Menurut JF Apex Research, dengan enam kontrak diperoleh setakat tahun ini serta rekod prestasi yang kukuh dalam pelaksanaan kerja pencawang voltan tinggi (HV) untuk pelanggan pusat data, CBHB kekal sebagai antara penerima manfaat utama daripada segmen ini.
"CBHB dijangka kekal berada dalam kedudukan tunai bersih sepanjang tempoh unjuran kami, dengan tunai bersih sebanyak RM157.8 juta pada FY25A dan diunjurkan RM109.8 juta pada FY26F.
"Kedudukan tersebut dilihat mencukupi untuk membiayai keperluan modal kerja bagi buku pesanan yang semakin berkembang tanpa memerlukan pinjaman baharu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma penyelidikan itu menjangkakan momentum kontrak berkaitan pusat data (DC) kekal kukuh, disokong pelaburan berterusan syarikat teknologi berskala besar dalam infrastruktur pusat data dan kecerdasan buatan (AI).
Buku tender CBHB bagi kerja-kerja pencawang berada pada kira-kira RM1.0 bilion untuk FY26. Dengan andaian kadar kemenangan kontrak sekitar 60%, ia menyokong andaian pengisian semula buku tempahan firma sebanyak RM600 juta.
Buku pesanan RM1.16 bilion beri keterlihatan pendapatan
Kedudukan kewangan CBHB turut diperkukuh dengan kemenangan kontrak terbaharu bernilai RM88.1 juta bagi reka bentuk dan pembinaan stesen pendaratan pengguna (CLS) 275kV untuk sebuah pusat data di Selangor.
Kontrak menerusi anak syarikat milik penuhnya, CBH Engineering Sdn Bhd itu, meningkatkan buku tempahan tertunggak kumpulan kepada kira-kira RM1.16 bilion, bersamaan 5.3 kali ganda hasil FY25.
JF Apex Research berkata kontrak tersebut merupakan kemenangan keenam CBHB pada FY26, menjadikan jumlah kontrak yang diperoleh setakat tahun ini kepada RM477.2 juta.
Dengan andaian margin keuntungan kasar sebanyak 23.5%, projek itu dijangka menjana keuntungan kasar sekitar RM20.7 juta sepanjang tempoh sembilan bulan.
Daripada jumlah itu, kira-kira RM10.7 juta dijangka diiktiraf pada FY26F, manakala baki RM10 juta pada FY27F.
Selari prestasi tersebut JF Apex Research mengekalkan saranan BELI terhadap CBHB dengan harga sasaran (TP) dikemas kini kepada RM1.05, berdasarkan purata nisbah harga kepada pendapatan (P/E) syarikat setara sebanyak 23.1 kali dan EPS FY28F sebanyak 4.6 sen.
Sementara itu Phillip Capital Research turut mengekalkan penarafan BELI dengan TP 12 bulan tidak berubah pada RM1.11, berdasarkan sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 22 kali terhadap EPS 2027E.
"Kami terus menyukai CBHB berdasarkan prospek pertumbuhan yang menarik sebagai proksi langsung kepada kitaran pelaburan infrastruktur tenaga Malaysia yang semakin pesat, disokong rekod prestasi terbukti dalam melaksanakan projek syarikat teknologi berskala besar serta profil margin yang mengatasi industri," katanya.
Antara risiko penurunan utama termasuk pemberian kontrak baharu yang lebih perlahan daripada jangkaan, risiko pelaksanaan projek serta peningkatan kos projek. - DagangNews.com






