
Tunang Meninggal Sebulan Sebelum Majlis Kahwin, Pesanan Terakhir Undang Sebak
Setelah mengikat janji ingin hidup bersama, setiap pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga tentu melalui fasa teruja mengatur persiapan majlis pernikahan. Dewan ditempah, hantaran dipilih dan dihias dengan begitu cantik.
Baju pernikahan dan persandingan diacu agar bakal pengantin tampil berseri di hari bahagia. Segala kenangan yang dilalui bersama pasti membuatkan hati pasangan dua sejoli semakin teruja menanti tarikh keramat dalam hidup mereka.
Namun semua ini tidak dapat menjadi kenyataan buat seorang pengguna TikTok yang kehilangan tunangannya sebulan sebelum majlis pernikahan mereka.

Sekelip mata, keindahan yang dirasa bertukar suram tatkala Zalifah Yasin menerima berita duka pemergian kekasih hati, Allahyarham Luzman. Gadis yang baru sahaja kehilangan ibunya pada tahun lalu kini terpaksa menanggung kesedihan kehilangan insan tersayang sekali lagi.
“Tiada yang kepunyaan kita. Semua yang kita ada milik Allah. Hadiah terhebat yang saya pernah pinjam tentulah Mak dan Luzman. Allah dah jemput mereka kembali.
“Semoga Allah tempatkan Zalinah binti Adam dan Luzman Safwan bin Mohaini di syurga. Semoga Allah permudahkan urusan mereka di alam sana,” nukil gadis tersebut.

Menurutnya ketika ditanya SK, arwah Luzman meninggal disebabkan tekanan darah tinggi yang mengakibatkan pembuluh darah pecah. Kehadiran arwah dalam hidupnya merupakan sokongan terbesar buat gadis itu meneruskan hidup selepas kehilangan ibu tercinta.
“Waktu mak saya meninggal, Luzman banyak berikan sokongan kepada kesihatan mental saya. Mac 2025, Luzman pula tinggalkan saya,” kongsi Zalifah.
Katanya, kali terakhir Ifah melihat Luzman ialah ketika arwah menghantarnya ke hospital bagi menjalani pembedahan ringan.
“Esoknya dia pula diserang tekanan darah tinggi,” tambahnya.
Jelasnya, berita tersebut diterima Zalifah ketika masih berada di hospital. Susulan serangan tekanan tinggi, arwah pula dimasukkan ke hospital bagi menjalani pembedahan.
“Selepas 11 hari menjalani pembedahan, arwah menghembuskan nafas terakhirnya,” ujar gadis berkenaan.
Sayu, Zalifah menunjukkan pesanan terakhir arwah buat dirinya.
“Semoga kesakitan awak akan digantikan dengan benda yang terbaik dalam hidup awak. Assalamualaikum sayang,” titip arwah kepada Zalifah.

Ketika ditanya berkenaan keadaan dirinya kini, Zalifah tidak dapat mengungkapnya dengan kata-kata.
“Saya reda dengan ketentuan Allah. Saya harap saya terus kuat untuk menghadapi hari-hari mendatang,” ucapnya.
Sumber: Zalifah Yasin
The post Tunang Meninggal Sebulan Sebelum Majlis Kahwin, Pesanan Terakhir Undang Sebak appeared first on Siakap Keli.


