hamden19/11/2026 - 16:16 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Nov - Tune Talk Sdn Bhd memperoleh lesen Penyedia Kemudahan Rangkaian (Individu) daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sekali gus membuka ruang kepada syarikat telekomunikasi itu memiliki atau menyediakan infrastruktur rangkaian tertentu.
Kelulusan itu melengkapkan lesen Penyedia Perkhidmatan Rangkaian (Individu) dan Penyedia Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) yang dimiliki sebelum ini, membolehkan Tune Talk mempunyai lesen merangkumi tiga komponen utama iaitu kemudahan rangkaian, perkhidmatan dan aplikasi.
Tune Talk dalam kenyataan berkata, lesen baharu itu meliputi kemudahan seperti peralatan penghantaran, rangkaian pautan tetap, kabel dan menara, tertakluk kepada syarat kawal selia.
Menurut syarikat itu, kelulusan berkenaan memberikan fleksibiliti lebih besar dalam perancangan rangkaian, pemilikan infrastruktur dan kerjasama perkongsian rangkaian, selain menyokong usaha memperkukuh kebebasan operasinya.
Perkembangan itu turut dibina berasaskan rangkaian teras natif awan (cloud-native) Tune Talk yang dilancarkan pada Mac 2026 menerusi Amazon Web Services (AWS), dengan kerjasama Nokia dan Mavenir.
Pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Gurtaj Singh Padda berkata, kelulusan itu akan memperkukuh keupayaan syarikat untuk menentukan hala tuju pembangunan rangkaiannya.
Beliau berkata, Tune Talk akan terus melabur dalam keupayaan rangkaian sambil memastikan setiap pembangunan pada masa depan mematuhi keperluan kawal selia dan dilaksanakan bersama rakan kerjasama yang bersesuaian.
"Membina rangkaian teras natif awan sendiri merupakan keputusan strategik yang dibuat secara sengaja kerana Tune Talk mahu mempunyai lebih banyak kuasa dalam menentukan perkembangan rangkaiannya. Lesen ini memberikan asas yang lebih kukuh kepada keputusan itu.
"Bagi kami, Kasi Tune bermaksud membantu rakyat Malaysia memperoleh lebih manfaat daripada setiap sambungan, dan usaha itu bermula dengan keyakinan terhadap rangkaian yang menyokongnya.
"Ini adalah satu asas, bukannya garisan penamat, dan apa sahaja yang kami bangunkan berasaskan asas ini akan dilaksanakan dengan sewajarnya, melalui kelulusan yang betul serta kerjasama rakan strategik yang tepat," katanya.
Bagaimanapun, Tune Talk menjelaskan bahawa kelulusan itu tidak membawa sebarang perubahan serta-merta kepada pelan mudah alih, nombor telefon atau perkhidmatan sedia ada pelanggan.
Syarikat itu turut menegaskan bahawa lesen berkenaan bukan kelulusan untuk pelaksanaan rangkaian atau pelancaran komersial, selain tidak memberikan hak spektrum secara automatik atau akses tanpa sekatan kepada rangkaian capaian radio.
Sebarang pembangunan infrastruktur, penggunaan spektrum atau aturan akses rangkaian pada masa depan kekal tertakluk kepada kelulusan kawal selia, syarat lesen dan perjanjian komersial. - DagangNews.com





