Signature Alliance peroleh kontrak RM60.38 juta naik taraf sekolah antarabangsa ISKL

LocalBusiness & Finance
19 Nov 2026 • 5:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Signature Alliance peroleh kontrak RM60.38 juta naik taraf sekolah antarabangsa ISKL Image from: Signature Alliance peroleh kontrak RM60.38 juta naik taraf sekolah antarabangsa ISKL hamden19/11/2026 - 17:38 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov - Signature Alliance Group Berhad (SAG) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Space Alliance Contracts Sdn Bhd, memperoleh kontrak bernilai RM60.38 juta daripada The International School of Kuala Lumpur (ISKL) bagi melaksanakan kerja-kerja naik taraf bangunan sekolah sedia ada.

 

SAG dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Space Alliance Contracts menerima surat anugerah (LOA) daripada ISKL pada 19 November 2026 bagi melaksanakan dan menyiapkan kerja-kerja naik taraf bangunan sekolah di PT2653 serta sebahagian kawasan rizab Terowong SMART, Jalan Ampang Hilir, Mukim Ampang, Kuala Lumpur.

 

Projek berkenaan akan dilaksanakan dalam dua fasa, dengan fasa pertama merangkumi pembinaan sambungan bilik darjah akademik tiga tingkat, pengubahsuaian dalaman dewan serbaguna, naik taraf laluan pejalan kaki dan amfiteater serta pembinaan sambungan pejabat di atas bumbung.

 

Fasa pertama itu perlu disiapkan dalam tempoh 18 bulan dari tarikh permulaan kerja.

 

Sementara itu, fasa kedua membabitkan kerja-kerja sambungan dan naik taraf gelanggang tenis berbumbung yang perlu disiapkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh permulaan.

 

Tarikh permulaan bagi kedua-dua fasa akan dimaklumkan secara bertulis oleh arkitek projek.

 

SAG berkata, tempoh liabiliti kecacatan bagi projek itu adalah selama 24 bulan dari tarikh kerja-kerja disiapkan.

 

Selain itu, Space Alliance Contracts perlu menyediakan bon pelaksanaan berjumlah RM3.019 juta, bersamaan 5% daripada nilai kontrak, yang dikeluarkan oleh bank bereputasi dan dilesenkan serta beroperasi di Malaysia.

 

Menurut kumpulan itu, kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih SAG serta kumpulannya sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

 

Bagaimanapun, SAG berkata, tiada risiko ketara yang boleh dijangka selain risiko operasi biasa yang berkaitan dengan pelaksanaan kontrak, dan kumpulan itu akan terus memantau serta mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan risiko berkenaan.

 

SAG turut menjelaskan bahawa penerimaan LOA itu tidak memberi kesan terhadap modal saham, tahap penggearan atau struktur pemegang saham kumpulan.

 

Kontrak berkenaan juga diperoleh dalam perjalanan biasa perniagaan kumpulan dan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved