Tunggakan RM314 juta MyEG sejak Mei, bukan tiga tahun: Menteri

LocalPolitics
5 Oct 2026 • 12:27 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Tunggakan RM314 juta MyEG sejak Mei, bukan tiga tahun: Menteri

SHAH ALAM, 5 OKT: Kementerian Pengangkutan (MOT) menjelaskan tunggakan kutipan hasil kerajaan berjumlah RM314 juta membabitkan My EG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd, kedua-duanya di bawah Kumpulan MyEG, hanya berlaku antara Mei hingga September tahun ini.

Menterinya, Anthony Loke berkata jumlah itu melibatkan kutipan hasil kerajaan bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September yang masih belum dipindahkan ke Akaun Penerimaan Utama Pejabat Perakaunan kementerian.

Beliau sekali gus menafikan laporan sebelum ini yang mendakwa tunggakan berkenaan berlaku selama tiga tahun.

“Ini yang saya nak memperbetulkan sedikit laporan-laporan media yang mengatakan bahawa sudah tiga tahun mengapa JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan MOT (Kementerian Pengangkutan) tak mengambil tindakan.

“Tak betul. Tiga tahun itu tidak tepat. Tunggakan ini bermula sejak Mei tahun ini, iaitu beberapa bulan lalu,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini seperti dilapor BH.

Terdahulu, media melaporkan JPJ menggantung perkhidmatan kedua-dua syarikat di bawah kumpulan MYEG itu yang juga sebagai ejen kutipan jabatan terbabit berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kepatuhan terhadap terma dan syarat perjanjian serta tanggungjawab yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat itu.

Susulan keputusan itu, Aedy memaklumkan semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MyEG juga akan digantung.

Langkah penggantungan itu menyusul selepas MOT mengesahkan kepada portal berita perniagaan The Edge bahawa Zetrix AI terhutang lebih RM200 juta tunggakan hasil yang belum diserahkan kepada kerajaan.

Jumlah itu membabitkan wang yang dikutip daripada pelanggan bagi urusan pembaharuan cukai jalan, pembaharuan lesen memandu dan pembayaran saman trafik.

Tunggakan kutipan yang belum diserahkan itu didakwa dikesan sejak bermulanya kontrak tiga tahun Zetrix AI bersama JPJ pada Mei 2023.

Zetrix AI sebelum ini dikenali sebagai MYEG Services Bhd. Syarikat berkenaan menyediakan perkhidmatan dalam talian kerajaan termasuk perkhidmatan berkaitan JPJ sejak 2000.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved