Tunggang secara cuai hingga cederakan budak, penganggur dijel 18 bulan

20 Aug 2026 • 5:34 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tunggang secara cuai hingga cederakan budak, penganggur dijel 18 bulan
Tertuduh (tengah) dijatuhi hukuman penjara 18 bulan atas pertuduhan lima kesalahan trafik di Mahkamah Majistret Tawau pada Khamis.

TAWAU - Seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan kesalahan trafik termasuk menunggang motosikal secara cuai sehingga mencederakan seorang pelajar berusia 12 tahun, Januari lalu.

Tertuduh, Abisyam, 19, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin di Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis.

Menurut pertuduhan, dia didakwa memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan, gagal berhenti selepas kemalangan, gagal membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam dan menunggang motosikal tanpa lesen memandu dan insuran.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 43(1), Seksyen 52(1), Seksyen 52(2), Seksyen 26(2) dan Seksyen 90(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut fakta kes, tertuduh yang menunggang motosikal jenis Honda melanggar seorang pelajar berusia 12 tahun ketika mangsa sedang melintas jalan di hadapan Masjid Jalan Merotai, kira-kira pukul 5.30 petang, 30 Januari lalu.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan retak tulang kaki manakala tertuduh bertindak meninggalkan lokasi kemalangan.

Tertuduh hanya membuat laporan polis tiga hari selepas kejadian.

Ketika prosiding, tertuduh memohon mahkamah meringankan hukuman selain meminta hukuman penjara dikenakan bagi kesemua pertuduhan tanpa denda.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman masing-masing sebulan penjara bagi kesalahan tidak memiliki lesen memandu dan insuran motosikal.

Bagi kesalahan gagal berhenti selepas kemalangan dan gagal membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan.

Sementara itu, bagi kesalahan memandu secara cuai, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan.

Keseluruhan hukuman berjumlah 18 bulan penjara itu diperintahkan berjalan serentak.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved