SHAH ALAM – Peguam yang mewakili ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa, tindakan Ismanira Abdul Manaf berjalan di hadapan kanak-kanak autisme dan menyedari kanak-kanak autisme itu hilang 61 saat kemudian sebagai bukan bentuk pengabaian.
Peguam, Tiara Katrina Fuad yang mewakili Ismanira, 31, selaku perayu berkata demikian ketika prosiding hujahan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana mengabaikan, di hadapan Hakim, Noor Hisham Ismail.
Ketika berhujah, Tiara Katrina berkata, berdasarkan keterangan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dikemukakan semasa perbicaraan, perayu dilihat menaiki tangga bersama Zayn Rayyan pada jam 12.05 tengah hari saat ke-11.
Katanya, ibu kepada dua anak itu kemudiannya dilihat menuruni tangga untuk mencari anak sulung terbabit pada jam 12.06 tengah hari saat ke-12.
“Oleh itu, tempoh masa keseluruhan yang paling lama boleh dikatakan perayu berjalan dengan membelakangkan Zayn Rayyan ialah 61 saat.
“Bagaimanapun, arwah hilang selama lebih satu minit itu dalam persekitaran yang munasabah dan dipercayai selamat.
“Perbuatan perayu tidak memenuhi keperluan ‘mens rea’, iaitu berniat jahat ketika melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang,” katanya yang hadir bersama peguam, Haijan Omar, Lavanesh Haresh dan Haresh Mahadevan.
Beliau berkata, mahkamah perlu mengambil kira tugas perayu sebagai seorang ibu yang menjaga dua anak kurang upaya (OKU).
Katanya, ketika kejadian, Ismanira bekerja telah pulang untuk mengambil arwah dari sekolah kemudian memasak spageti yang diminta anak syurga tersebut.
Beliau berkata, ambil contoh lain seorang ibu jaga seorang anak OKU di rumah, secara tiba-tiba seorang lagi anak mengalami kemalangan, adakah dia didapati telah mengabaikan anak?
“Berdasarkan alasan-alasan tersebut, perayu perlu dilepas dan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan tersebut,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Iqbal Azman menghujahkan, meninggalkan mana-mana budak atau bayi dalam tempoh 10 saat sekali pun, akan dikira sebagai bentuk pengabaian.
Katanya, ia bergantung kepada situasi dan lokasi kanak-kanak tersebut dibiarkan, contohnya dalam kereta yang terkunci, di bawah sinar terik matahari.
“Pembelaan memberitahu mahkamah bahawa, 61 saat itu tidak lama sedangkan Zayn Rayyan merupakan seorang kanak-kanak yang tidak dapat membezakan baik atau buruk.
“Arwah juga tidak tahu sama ada perlu meminta pertolongan atau dapat membezakan situasi dikejar individu lain.
“Jika saya membaca hujahan selama 61 saat, ia mungkin kelihatan lama namun sekiranya meninggalkan anak dalam tempoh masa sama, adakah ia kelihatan sekejap?” soalnya.
Dalam prosiding berkenaan, pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Kamarul Iman Ahmad Sapian.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, di sini jam 10 malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Susulan itu, pada 13 Jun 2024, Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 31 didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Bagaimanapun, di akhir kes pendakwaan pada 21 Julai 2025, Hakim, Dr Syahliza Warnoh melepaskan dan membebaskan Zaim Ikhwan daripada tuduhan berkenaan tanpa perlu membela diri.
Sementara pada 31 Oktober tahun sama, mahkamah memerintahkan Ismanira ke Penjara Wanita Kajang serta-merta bagi menjalani hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah mengabai kanak-kanak malang berkenaan.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam keesokkannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

![[VIDEO] Keputusan rayuan ibu Zayn Rayyan 28 September ini](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-19-at-18.25.09-1-1024x758.jpeg)



