TUNIS: Persatuan Bolasepak Tunisia (FTF) akhirnya membuat keputusan drastik bagi mengembalikan semula reputasi skuad kebangsaan apabila melantik Moine Chaabani sebagai ketua jurulatih baharu menerusi kontrak selama empat tahun.
Pelantikan jurulatih berusia 45 tahun itu, hadir susulan kempen mengecewakan Tunisia pada Piala Dunia apabila pasukan berkenaan tersingkir awal selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai hala tuju skuad yang pernah dianggap antara kuasa utama bola sepak Afrika.
Dalam kenyataan rasmi, FTF mengesahkan Chaabani diberikan mandat jangka panjang untuk membina semula pasukan dan mengembalikan daya saing Tunisia di pentas antarabangsa.
“Kontrak beliau adalah untuk tempoh empat tahun,” menurut kenyataan FTF yang sekali gus menamatkan spekulasi mengenai calon yang bakal mengisi kerusi panas skuad kebangsaan itu.
Chaabani bukanlah nama asing dalam bola sepak Afrika dan sepanjang kariernya, beliau membina reputasi sebagai antara jurulatih paling berjaya di rantau tersebut selepas membawa Esperance Tunis menjulang dua gelaran Liga Juara-Juara Afrika serta lima kejuaraan liga domestik.
Kejayaannya turut diteruskan di Maghribi apabila membantu RS Berkane muncul juara liga, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai pengendali yang memiliki sentuhan kemenangan.
RS Berkane lebih awal mengumumkan pemergian Chaabani bagi membolehkan beliau menerima tanggungjawab mengendalikan pasukan kebangsaan Tunisia walaupun masih mempunyai kontrak bersama kelab itu sehingga 2027.
Pelantikan Chaabani juga mencerminkan usaha FTF menamatkan ketidakstabilan yang melanda pasukan sejak dua tahun lalu apabila beliau menjadi jurulatih keempat Tunisia tahun ini dan individu kelapan mengendalikan skuad kebangsaan sejak Januari 2024.
Situasi itu berlaku selepas Tunisia gagal memenuhi harapan tinggi pada Piala Dunia biarpun layak ke kejohanan berkenaan tanpa dibolosi sepanjang kempen kelayakan.
Namun, mereka dikejutkan dengan kekalahan 1-5 kepada Sweden dalam aksi pembukaan sebelum tewas dalam dua lagi perlawanan peringkat kumpulan.
Kegagalan itu menyebabkan Sabri Lamouchi kehilangan jawatan sebelum digantikan oleh jurulatih berpengalaman Perancis, Herve Renard, namun pertukaran tersebut tidak mampu mengubah nasib pasukan yang terus bergelut di pentas antarabangsa. – AFP
The post Tunisia buka era baharu bersama Chaabani appeared first on Utusan Malaysia.






