Tuntutan insurans tinggi termasuk disebabkan banjir dijangka tekan prestasi LPI Capital suku keempat - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2026 • 9:37 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tuntutan insurans tinggi termasuk disebabkan banjir dijangka tekan prestasi LPI Capital suku keempat - Penganalisis Image from: Tuntutan insurans tinggi termasuk disebabkan banjir dijangka tekan prestasi LPI Capital suku keempat - Penganalisis hamden28/10/2026 - 09:37 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Okt - LPI Capital Bhd dijangka terus berdepan tekanan daripada tuntutan insurans yang tinggi dalam tempoh terdekat, didorong peningkatan kos perubatan, pampasan kecederaan tubuh badan bagi tuntutan motor serta risiko tuntutan berkaitan banjir pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26), kata penganalisis pasaran.

 

BIMB Securities mengekalkan andaian nisbah tuntutan bersih yang ditanggung (NCI) LPI bagi tahun kewangan 2026 (FY26) pada 45.2%, mengambil kira tekanan daripada kejadian berkaitan iklim dan tuntutan insurans motor yang kekal tinggi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tuntutan berkaitan banjir juga berkemungkinan meningkat pada 4QFY26 berikutan corak cuaca bermusim, sekali gus menjadi antara perkara yang perlu diperhatikan terhadap prestasi syarikat insurans itu.

 

'Bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (9MFY26), nisbah gabungan LPI kekal stabil pada 75.3%, hampir menyamai 75.2% yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya, apabila peningkatan nisbah tuntutan diimbangi oleh nisbah komisen bersih dan perbelanjaan pengurusan yang lebih rendah.

 

"Nisbah tuntutan bersih yang ditanggung meningkat 20 mata asas tahun ke tahun (YoY) kepada 44.6% dalam tempoh berkenaan, mencerminkan tuntutan insurans motor yang lebih tinggi susulan peningkatan kekerapan kemalangan serta pampasan lebih besar yang diberikan mahkamah bagi tuntutan kecederaan tubuh badan pihak ketiga.

 

"Bagaimanapun, tekanan itu sebahagiannya diimbangi oleh tuntutan lebih rendah dalam segmen kebakaran," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Prospek pendapatan

BIMB Secirities berkata, dari segi prospek pendapatan pelaburan, penurunan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dijangka menyokong pemulihan sebahagian nilai pelaburan pada 4QFY26, manakala peruntukan lebih besar kepada sekuriti pada kos terlunas dijangka membantu mengurangkan turun naik pendapatan.

 

Namun, pendapatan dividen FY26 dijangka lebih rendah selepas pelupusan penuh pegangan saham Public Bank, mengambil kira tempoh pelaburan semula dan penerimaan dividen.

 

Saham LPI ditetapkan pada harga RM13.20, manakala penilaian berkenaan mengambil kira kos ekuiti 9%, kadar bebas risiko 3.9% dan kadar pertumbuhan terminal 3%.

 

Sementara itu MBSB Research berkata, walaupun prestasi LPI pada suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26) menunjukkan peningkatan berbanding suku sebelumnya, keputusan itu masih hambar berbanding jangkaan, memandangkan suku berkenaan lazimnya merupakan tempoh paling kukuh bagi syarikat insurans itu.

 

Keuntungan bersih teras LPI bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (9MFY26) merosot 11% tahun ke tahun kepada RM263 juta, dipengaruhi peningkatan kos insurans semula dan keputusan pelaburan yang lebih lemah, sekali gus mengimbangi pertumbuhan hasil insurans serta penurunan perbelanjaan insurans.

 

Prestasi baik 3Q mungkin tidak berulang

Penganalisis memberi amaran bahawa prestasi lebih baik pada suku ketiga mungkin tidak berulang pada suku berikutnya, memandangkan tuntutan motor lazimnya lebih rendah dalam tempoh berkenaan.

 

Pada 4QFY26, normalisasi prestasi segmen Motor dan risiko peningkatan tuntutan, khususnya ketika ringgit kembali menyusut, berpotensi menjejaskan pendapatan LPI.

 

Selain itu, nisbah gabungan segmen Kebakaran yang berada pada paras luar biasa tinggi dalam dua suku kebelakangan ini turut membuka kemungkinan normalisasi prestasi.

 

MBSB Research mengekalkan saranan NEUTRAL terhadap saham LPI, dengan harga sasaran berasaskan Model Pertumbuhan Gordon (GGM) disemak sedikit kepada RM11.70 daripada RM11.72.

 

Firma itu turut menyifatkan dividen khas sebagai faktor utama yang terus menyokong penilaian saham LPI, dengan RM259 juta daripada jumlah anggaran RM737 juta telah diagihkan setakat ini dan dua lagi pembayaran masih berbaki.

 

Pembayaran terakhir dijangka pada separuh pertama tahun kewangan 2027 (1HFY27).

 

Bagaimanapun, ruang kenaikan harga saham dilihat terhad tanpa pemangkin positif baharu, melainkan terdapat perkembangan sebenar berhubung spekulasi penggabungan dan pengambilalihan (M&A) yang timbul baru-baru ini. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved