Tutup Enjin Tanpa Off Aircond Boleh Jahanamkan Kereta? Mekanik Ini Beri Penjelasan [Video]

Cars
13 Oct 2025 • 12:15 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Tidak dinafikan, terdapat banyak petua penjagaan kenderaan yang dikongsikan sejak dahulu sehingga hari ini.

Sesetengah amalan ini sememangnya baik untuk menjaga enjin kenderaan, namun ada juga yang sekadar mitos sahaja memomok-momokkan pemilik kereta.

Sebagai contoh, tekan tiga kali butang push-start untuk menghidupkan enjin yang masih ada mempercayainya walhal ia tidak pernah disarankan oleh pihak jurutera syarikat kenderaan itu.

Betul ke matikan enjin tanpa off aircond boleh rosakan kereta?

Malah, ada juga yang berkata sistem penyaman udara (A/C) perlu ditutup terlebih dahulu sebelum mematikan enjin demi menjaga kereta daripada mudah rosak.

Persoalannya adakah ianya benar? Susulan itu, seorang mekanik tampil berkongsi mengenai perkara itu.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @altimatautogarage, perkara itu tidak semestinya akan merosakkan enjin kereta.

Tak jadi masalah kereta moden tak off A/C ketika matikan enjin

Menurut lelaki itu, sekiranya korang merupakan pemilik kereta-kereta modern atau model baharu, tidak menjadi masalah untuk mematikan enjin tanpa menutup penyaman udara terlebih dahulu.

“Kereta-kereta baru ni boleh sahaja kalau korang nak off dan on enjin dalam keadaan aircond hidup.

“Contohnya kalau korang memandu dan dah balik rumah, nak matikan enjin tapi tak tutup dulu korang punya blower dan aircond, korang biar sahaja, (sebenarnya) boleh sahaja,” katanya.

Kereta lama guna karburetor lebih baik tutup aircond sebelum matikan enjin

Menurutnya, bagaimanapun bagi kenderaan-kenderaan lama yang masih menggunakan karburetor lebih disarankan untuk menutup A/C terlebih dahulu sebelum mematikan enjin.

Jelas mekanik itu, hal ini kerana sekiranya kereta dimatikan dalam keadaan aircond masih hidup ia boleh memberi beban yang berat kepada enjin ketika kenderaan itu dihidupkan nanti.

Ujarnya, perkara ini berbeza berbanding kenderaan baharu yang lebih efisien kerana menggunakan kotak komputer yang canggih.

Tutup A/C sebelum matikan enjin hanya mitos, ini sebabnya

Sementara itu, memetik laman web Cikgu Kereta, sistem aircond moden tidak memberi kesan kepada enjin sama ada ia dihidupkan atau dimatikan kerana ketika enjin dihidupkan sistem seperti lampu, radio dan aircond akan dimatikan seketika oleh ECU untuk memberi tumpuan tenaga kepada starter enjin.

Apa yang lebih penting sebenarnya ialah penyelenggaraan sistem A/C kerana masih ada pemilik kereta yang mengabaikannya sehingga menyebabkan masalah seperti bunyi pada kompresor atau udara tidak sejuk.

Pun begitu, ada juga kebaikan mematikan A/C beberapa minit sebelum tiba ke destinasi, bukan untuk menjaga enjin tetapi demi kesihatan dan kebersihan kabin.

Hal ini kerana ia membantu mengeringkan kelembapan dalam sistem pengudaraan, sekali gus mengelakkan pembentukan kulat dan bau tidak menyenangkan. Selain itu, ia juga membantu tubuh menyesuaikan diri dengan suhu luar, terutama dalam cuaca panas.