Tutup salah, buka salah, serba tidak kena

LocalOpinion
20 Oct 2026 • 8:15 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tutup salah, buka salah, serba tidak kena

SEKOLAH dibuka, ada yang marah. Sekolah ditutup, ada pula yang melenting, apabila sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan, timbul rungutan baharu lagi.

Kini, apabila Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) minggu ini ditunda akibat jerebu, sekali lagi media sosial menjadi medan meluahkan rasa tidak puas hati.

Begitulah senario yang dapat dilihat sejak minggu lalu apabila keputusan berkaitan operasi sekolah sentiasa menjadi sasaran kritikan segelintir ibu bapa.

Apa sahaja keputusan yang dibuat, seolah-olah ada sahaja yang tidak kena.

Ketika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat ke paras tidak sihat, ada ibu bapa mendesak supaya sekolah segera ditutup. Mereka bimbang anak-anak terdedah kepada udara tercemar yang boleh menjejaskan kesihatan, terutama murid yang mempunyai masalah kesihatan dan asma.

Setelah sekolah benar-benar ditutup, timbul pula suara yang mempertikaikan keputusan tersebut. Ada yang mengeluh kerana terpaksa mengambil cuti, mencari penjaga anak atau menyusun semula jadual pekerjaan.

Tidak kurang juga yang merungut kerana perlu menjadi ‘guru segera’ apabila anak-anak mengikuti PdPR di rumah.

Persoalannya, apa sebenarnya yang ibu bapa mahukan? Adakah mereka mahu sekolah dibuka atau ditutup? Atau adakah mereka hanya mahukan keputusan yang memenuhi keselesaan dan kehendak masing-masing tanpa mengambil kira kepentingan keseluruhan sistem pendidikan?

Isu penangguhan UASA pula ada yang mendakwa anak-anak sudah bersedia untuk menduduki peperiksaan, keputusan menangguhkan peperiksaan bukanlah sesuatu yang mudah.

Ia melibatkan penyelarasan jadual, persediaan guru, kesediaan murid dan kelancaran pentadbiran sekolah, dalam keadaan luar biasa seperti jerebu, keselamatan serta kesihatan murid sewajarnya mengatasi segala pertimbangan lain.

Kita harus berlaku adil kepada Kementerian Pendidikan. Dalam situasi yang tidak menentu ini, kementerian berusaha melakukan yang terbaik dengan mengambil kira keadaan semasa, keselamatan warga sekolah dan kesinambungan pembelajaran.

Bacaan IPU boleh berubah mengikut lokasi, masa dan keadaan cuaca. Keputusan yang sesuai pada waktu pagi mungkin memerlukan penilaian semula beberapa jam kemudian.

Perubahan arahan bukan semestinya menunjukkan kelemahan pengurusan, sebaliknya mungkin mencerminkan keperluan bertindak mengikut perkembangan terkini.

Sudah tiba masanya kita mengubah sikap daripada sentiasa mencari kesalahan kepada memberikan kerjasama.

Jika sekolah ditutup, bantu anak-anak belajar di rumah, jika sekolah dibuka, pastikan mereka mengikuti langkah keselamatan yang disarankan.

Jika peperiksaan ditunda, gunakan masa tambahan untuk membuat persediaan lebih baik.

The post Tutup salah, buka salah, serba tidak kena appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved