
PARIS – Paris Saint-Germain (PSG) bersedia untuk mengukir sejarah baharu untuk memburu gelaran juara Liga Juara-Juara (UCL) buat kali ketiga berturut-turut apabila pertembungan Eropah itu kembali membuka tirai minggu ini.
Juara Eropah dua musim berturut-turut itu sebelum ini menewaskan Arsenal menerusi penentuan penalti di Budapest untuk mempertahankan trofi yang dimenangi buat kali pertama dalam sejarah kelab pada musim sebelumnya.
Jika sekali lagi bergelar juara, PSG bakal menyamai pencapaian Real Madrid yang meraih tiga kejuaraan berturut-turut antara 2016 hingga 2018, selain Ajax (1971-1973) dan Bayern Munich (1974-1976).
“Objektif kami jelas. Saya mahu memenangi trofi penting dan tiada yang lebih penting daripada Liga Juara-Juara,” kata pengendali PSG, Luis Enrique yang sebelum ini turut membawa Barcelona menjuarai UCL pada 2015.
Bagaimanapun, PSG perlu memperbaiki permulaan mereka dalam format baharu UCL selepas sekadar menamatkan saingan liga di luar kelompok lapan terbaik dalam dua musim lalu, sekali gus terpaksa melalui pusingan playoff tambahan untuk mara ke pusingan 16 terbaik.
Cabaran kali ini juga tidak mudah apabila PSG dijadualkan berdepan Manchester City, Barcelona dan Aston Villa dalam fasa liga yang menyaksikan 36 pasukan beraksi menentang lapan lawan berbeza.
Arsenal pula dilihat sebagai antara pencabar utama selepas kemajuan mereka dalam tiga musim terakhir menyaksikan The Gunners tersingkir di suku akhir, separuh akhir dan final sebelum ini, sekali gus menjadikan kejuaraan sebagai sasaran logik seterusnya buat skuad kendalian Mikel Arteta.
Arsenal turut memulakan kempen dengan cabaran sukar apabila bertandang ke Napoli, manakala England menghantar lima wakil termasuk Manchester City, Liverpool, Manchester United dan Aston Villa untuk bersaing merebut trofi. – AGENSI
The post UCL: Misi memburu gelaran hatrik PSG bermula appeared first on Kosmo Online.





