hamden19/11/2026 - 11:03 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Nov - Kekurangan komponen, khususnya tiub sinar-X, terus mengehadkan penghantaran ViTrox Corp dalam tempoh terdekat, namun penggunaan sumber bekalan alternatif dijangka meningkatkan pengeluaran mulai penghujung tahun kewangan 2026 (FY26), sekali gus membuka ruang kepada pertumbuhan lebih kukuh pada FY27.
RHB Research berkata, penambahan kapasiti menerusi pembangunan Campus 4.0 dijangka membantu mengurangkan kekangan pengeluaran dalam tempoh terdekat, manakala Campus 5.0 berpotensi meningkatkan kapasiti ViTrox lebih tiga kali ganda menjelang FY28.
"Perkembangan itu dijangka menyediakan asas kepada fasa pertumbuhan seterusnya kumpulan, ketika tunggakan pesanan terus meningkat lebih pantas berbanding keupayaan penghantaran semasa," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB Research berkata, dalam jangka panjang, Campus 5.0 berpotensi meningkatkan kapasiti pengeluaran ViTrox lebih tiga kali ganda menjelang FY28, sekali gus menyediakan asas kepada fasa pertumbuhan seterusnya syarikat teknologi pemeriksaan itu.
Bagaimanapun, pertumbuhan pesat perniagaan kumpulan turut meningkatkan keperluan modal kerja sehingga aliran tunai operasi bagi tempoh sembilan bulan berakhir September 2026 (9M26) mencatatkan kedudukan negatif.
RHB Research berkata, keadaan itu perlu diberi perhatian, namun sebahagian besar penghutang ViTrox masih dalam tempoh pembayaran dan kumpulan juga mengekalkan kedudukan tunai bersih yang kukuh.
Firma penyelidikan itu menjangkakan penukaran keuntungan kepada aliran tunai bertambah baik secara berperingkat apabila penghantaran kembali normal.
Tunggakan pesanan kukuh, permintaan AI terus meningkat
Di sebalik kekangan bekalan, keterlihatan pendapatan ViTrox bagi FY27 semakin kukuh apabila tunggakan pesanan kumpulan terus meningkat lebih pantas berbanding keupayaan penghantaran.
Nisbah pesanan kepada bil (book-to-bill) kumpulan mencapai 1.1 kali pada suku ketiga 2026 (3Q26), dengan program berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan telekomunikasi merangkumi kira-kira 71% daripada tunggakan pesanan sistem pemeriksaan papan automatik (ABI).
ViTrox juga sudah memperoleh pesanan bernilai kira-kira RM172 juta bagi 2027, disokong saluran jualan yang kukuh, sekali gus menyediakan asas pendapatan FY27 sebelum mengambil kira pesanan baharu.
RHB Research menjangkakan hasil bagi suku keempat 2026 (4Q26) sederhana berbanding paras rekod 3Q26, namun melihat keadaan itu sebagai penangguhan sementara disebabkan kekangan bekalan dan bukannya kelemahan permintaan.
Apabila bekalan komponen bertambah baik dan kapasiti baharu mula beroperasi, penukaran tunggakan pesanan kepada penghantaran dijangka meningkat sepanjang FY27, sekali gus membuka peluang kepada ViTrox untuk mencatatkan satu lagi tahun rekod hasil.
Penghantaran AXI dan MVS capai paras rekod
Sementara itu, penghantaran sistem pemeriksaan sinar-X automatik (AXI) ViTrox mencapai rekod 154 sistem pada 3Q26.
Kumpulan menjangkakan model QX1 kelas atasan meningkat daripada kira-kira satu pertiga kepada lebih separuh daripada jumlah penghantaran AXI pada FY27.
Hasil perkhidmatan berulang juga dijangka berkembang seiring pertambahan pangkalan sistem yang dipasang, dengan pihak pengurusan menyasarkan peningkatan lebih dua kali ganda menjelang FY28 hingga FY29.
Selain ABI, penghantaran Sistem Penglihatan Mesin berasaskan dulang (MVS-T) turut mencapai rekod 79 unit pada 3Q26, menjadikan jumlah penghantaran bagi 9M26 sebanyak 209 unit, hampir dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Penyetempatan operasi pemasangan di China dijangka meningkatkan daya saing ViTrox berbanding pemain tempatan, selain membolehkan kapasiti di Pulau Pinang dimanfaatkan untuk memenuhi tunggakan pesanan yang kukuh.
Naik taraf saranan kepada BELI
Susulan prospek pertumbuhan yang kekal positif, RHB Research menaik taraf saranannya terhadap ViTrox kepada BELI daripada NEUTRAL, dengan harga sasaran tidak berubah pada RM11.60.
Harga sasaran itu menawarkan potensi kenaikan sebanyak 26%, selain hasil dividen kira-kira 1% bagi FY26F.
Jangkaan kemasukan ViTrox ke dalam Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) turut dilihat sebagai pemangkin dalam tempoh terdekat, manakala risiko pendapatan lebih cenderung kepada potensi peningkatan.
RHB Research berpandangan paras harga saham semasa menawarkan peluang menarik kepada pelabur untuk kembali membeli saham ViTrox selepas penyusutan 10.5% dalam tempoh seminggu. - DagangNews.com





