hamden19/11/2026 - 08:55 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Nov - UEM Sunrise Bhd mencatatkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak 163.6% kepada RM48.75 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3Q26), berbanding RM18.49 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, disokong peningkatan hasil pembangunan hartanah serta sumbangan lebih tinggi daripada syarikat bersekutu dan usaha sama (JV).
Hasil kumpulan pemaju hartanah itu turut meningkat 13.7% kepada RM474.88 juta berbanding RM417.76 juta pada 3Q25, didorong terutamanya oleh peningkatan hasil segmen pembangunan hartanah kepada RM402 juta daripada RM344 juta.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia pada Rabu, UEM Sunrise berkata peningkatan keuntungan bersih turut disokong sumbangan lebih tinggi daripada syarikat bersekutu dan JV yang meningkat kepada RM40.3 juta pada 3Q26 berbanding RM14.6 juta setahun sebelumnya.
Selain itu, kos kewangan dan perbelanjaan cukai yang lebih rendah turut membantu menyokong pertumbuhan keuntungan bersih suku tahunan kumpulan.
Bagaimanapun, keuntungan operasi merosot kepada RM61.1 juta pada 3Q26 berbanding RM70.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya, sebahagiannya disebabkan ketiadaan pampasan sekali sahaja daripada projek Collingwood di Melbourne yang diiktiraf dalam tempoh sama tahun lalu, selain perbelanjaan operasi lebih tinggi.
Kesan itu sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan jualan dan pengedaran yang lebih rendah.
Untung sembilan bulan turut meningkat
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9M26), keuntungan bersih UEM Sunrise meningkat 82.1% kepada RM111.8 juta berbanding RM61.39 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, manakala hasil bertambah 11.8% kepada RM1.43 bilion daripada RM1.28 bilion.
Perolehan sesaham bagi 9M26 turut meningkat kepada 2.21 sen berbanding 1.21 sen setahun sebelumnya.
Menurut kumpulan, pertumbuhan hasil bagi tempoh itu terutama didorong peningkatan 19% atau RM173 juta dalam hasil pembangunan hartanah kepada RM1.1 bilion, yang menyumbang 77% daripada jumlah hasil kumpulan.
Prestasi keuntungan turut disokong sumbangan daripada syarikat bersekutu dan JV yang hampir tiga kali ganda kepada RM93.9 juta berbanding RM31.6 juta pada 9M25.
UEM Sunrise berkata peningkatan itu khususnya didorong urus niaga penjualan tanah melibatkan JV kumpulan, manakala kos kewangan lebih rendah turut menyokong pertumbuhan pendapatan.
Bagaimanapun, kesan positif itu sebahagiannya diimbangi perbelanjaan cukai lebih tinggi sepanjang tempoh berkenaan.
Margin keuntungan kasar kumpulan turut bertambah baik kepada 26.4% pada 9M26 berbanding 25.2% dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Dari segi kedudukan kewangan, nisbah penggearan bersih UEM Sunrise bertambah baik secara marginal kepada 0.36 kali setakat 30 September 2026 berbanding 0.37 kali setahun sebelumnya.
Sementara itu, kumpulan kekal optimis terhadap prospek perniagaannya berikutan daya tahan ekonomi domestik Malaysia, meskipun persekitaran ekonomi global terus berdepan ketidaktentuan.
Sasaran FY26 dicapai
UEM Sunrise berkata jualan belum dibilkan kumpulan berjumlah RM3 bilion setakat 30 September 2026, sekali gus menyediakan keterlihatan hasil bagi tempoh 48 bulan akan datang.
Kumpulan turut memaklumkan bahawa ia sudah melepasi sasaran jualan FY26 sebanyak RM1.3 bilion selepas merekodkan jualan RM1.47 bilion pada separuh pertama 2026.
Selain itu, sasaran nilai pembangunan kasar (GDV) pelancaran sebanyak RM2.2 bilion turut dilepasi setakat 30 September lalu.
Bagaimanapun, kumpulan tidak menyemak semula kedua-dua sasaran berkenaan meskipun telah mencapainya lebih awal.
Bagi baki tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, UEM Sunrise berkata kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan perancangan secara berdisiplin, pengurusan risiko berhemat dan peruntukan modal strategik dalam mengharungi ketidaktentuan pasaran.
Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan mengisytiharkan dividen khas satu peringkat sebanyak 1.53 sen sesaham, dengan tarikh tanpa kelayakan pada 3 Disember 2026 dan pembayaran pada 30 Disember 2026. - DagangNews.com






