hamden31/07/2026 - 11:59 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 31 Julai - UEM Sunrise Berhad memperkenalkan jenama korporat diperkasa menerusi slogan baharu “Demi Masa Depan Yang Lebih Bermakna”, menandakan fasa baharu transformasi syarikat dalam memperjelas hala tuju strategik, memperkukuh pelaksanaan serta mencipta nilai jangka panjang kepada pelanggan, pemegang saham, komuniti dan negara.
Penjenamaan baharu itu mencerminkan aspirasi UEM Sunrise untuk berkembang sebagai pemaju hartanah yang lebih fokus dengan pendekatan perniagaan yang lebih seimbang dan berdaya tahan, berteraskan tiga teras pertumbuhan strategik iaitu Pembangunan Hartanah, Pelaburan Hartanah, serta Usaha Niaga & Pelaburan.
UEM Sunrise berkata, ketiga-tiga teras berkenaan akan menjadi asas kepada strategi pertumbuhan syarikat dengan memberi tumpuan kepada pembangunan bernilai tinggi, peningkatan aliran pendapatan berulang serta penerokaan kerjasama strategik.
Pendekatan itu turut disokong menerusi peruntukan modal yang lebih berdisiplin dan pengukuhan portfolio bagi meningkatkan keupayaan syarikat menjana pertumbuhan mampan dalam jangka panjang.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Shaharul Farez Hassan, berkata slogan baharu tersebut bukan sekadar identiti korporat, sebaliknya menggambarkan komitmen syarikat terhadap pertumbuhan yang berpaksikan tujuan serta penciptaan nilai berterusan.
“Demi masa depan yang lebih bermakna merupakan falsafah yang mendasari cara kami mencipta nilai serta menjadi piawaian yang kami pegang dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Setiap keputusan yang kami ambil hari ini perlu memperkukuh komuniti yang kami santuni, mewujudkan nilai berkekalan kepada pemegang saham serta menyumbang secara bermakna kepada masa depan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, seiring perkembangan perniagaan, UEM Sunrise akan terus memberi penekanan kepada pelaksanaan yang berdisiplin, peruntukan modal yang bertanggungjawab serta pembinaan portfolio yang berdaya tahan bagi menyokong pertumbuhan mampan.
Menurutnya, tujuan baharu syarikat akan menjadi panduan dalam mengenal pasti peluang secara strategik, mencipta pembangunan dengan aspirasi serta melaksanakan projek secara berdisiplin.
Pembangunan Bermakna Bermula Dengan Tujuan Yang Jelas
Sebagai sebahagian daripada pembaharuan jenama, UEM Sunrise turut memperkenalkan elemen grafik “Seed” yang melambangkan kepercayaan syarikat bahawa setiap pembangunan bermakna bermula dengan tujuan yang jelas dan perancangan teliti.
Simbol tersebut menggambarkan potensi sesuatu pembangunan yang bergantung kepada keputusan strategik sejak peringkat awal, termasuk pemilihan lokasi, masa pelaksanaan serta perkara yang perlu dipelihara.
Bagi UEM Sunrise, konsep berkenaan mencerminkan falsafah tanggungjawab pengurusan dalam menentukan apa yang perlu dibangunkan, lokasi yang sesuai, masa yang tepat dan, yang paling penting, perkara yang wajar dipelihara untuk manfaat jangka panjang.
Pendekatan itu mengimbangi disiplin komersial dengan tanggungjawab sosial dalam mewujudkan ruang yang mampu memberikan nilai berkekalan kepada masyarakat, perniagaan dan generasi akan datang.
Falsafah tersebut diterjemahkan menerusi portfolio UEM Sunrise, termasuk pembangunan perbandaran dinamik dan komuniti bersepadu, selain usaha strategik memelihara aset semula jadi yang mempunyai nilai jangka panjang.

Antara contoh utama ialah SIREH Park, salah satu taman bandar terbesar di Malaysia, yang mencerminkan komitmen syarikat dalam menyediakan manfaat berterusan kepada komuniti serta generasi akan datang.
UEM Sunrise berkata, pembangunan negara bukan hanya diukur melalui perkara yang dibangunkan, tetapi juga melalui aset dan kawasan yang dipelihara secara bertanggungjawab.
Sepanjang hampir enam dekad, UEM Sunrise telah memainkan peranan dalam pembangunan bandar Malaysia menerusi projek yang membentuk cara masyarakat hidup, bekerja dan berhubung.
Antara pencapaian penting syarikat termasuk pembangunan Mont’Kiara sebagai salah satu lokasi kediaman paling diminati di Kuala Lumpur serta perancangan Iskandar Puteri sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi Johor.
Melangkah ke hadapan, UEM Sunrise akan terus memperkukuh legasi tersebut menerusi kecemerlangan operasi, pelaksanaan berdisiplin dan pertumbuhan yang bertanggungjawab.
Dengan hala tuju baharu itu, syarikat kekal komited untuk mewujudkan komuniti yang saling terhubung, merealisasikan nilai mampan serta membangunkan ruang yang kekal relevan untuk generasi akan datang. - DagangNews.com





