BUKIT MERTAJAM- Tiga kanak-kanak lelaki warga Myanmar berusia antara 11 hingga 12 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan mengugut seorang wanita warga emas menggunakan beberapa peralatan pada 22 Oktober lalu.
Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Majistret Roshayati Radellah.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa secara bersama melakukan ugutan jenayah dengan mengancam untuk mencederakan mangsa yang berusia 71 tahun menggunakan beberapa objek termasuk mop, besi, lampu panjang berwarna putih dan batu.
Perbuatan itu didakwa berlaku di hadapan sebuah rumah di Tingkat Binjai 14, Taman Sri Rambai di sini, kira-kira jam 6 petang pada tarikh berkenaan.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadli Hassan memohon mahkamah menetapkan jaminan RM4,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin warga tempatan.
Beliau turut mencadangkan beberapa syarat tambahan termasuk menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu.
Selain itu, pihak pendakwaan memohon supaya ketiga-tiga tertuduh dan ahli keluarga masing-masing tidak mengganggu mangsa sepanjang prosiding berlangsung memandangkan mereka tinggal berjiran.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Najihah Ahmad Zulkarnain yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan usia mereka yang masih di bawah umur.
**media[3693923]**
Menurutnya, dua daripada kanak-kanak terbabit berusia 11 tahun manakala seorang lagi berusia 12 tahun yang mana, kesemua mereka masih bersekolah.
"Bapa ketiga-tiga tertuduh bekerja sebagai pekerja kontrak dengan pendapatan RM100 sehari.
"Sementara itu, ibu seorang daripada mereka bekerja di kilang dan dua lagi merupakan suri rumah," katanya.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan permohonan jaminan dan menetapkan 10 November depan untuk pelantikan jurubahasa Myanmar bagi membolehkan pertuduhan dibacakan semula serta penyerahan dokumen berkaitan.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan empat kanak-kanak lelaki warga Myanmar berusia antara sembilan hingga 12 tahun ditahan selepas disyaki mengugut seorang wanita warga emas di hadapan rumahnya di Taman Sri Rambai, Bukit Mertajam pada 22 Oktober lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa dikatakan menegur sekumpulan kanak-kanak yang bermain di taman permainan berhampiran kediamannya kerana membuat bising.
Bagaimanapun, teguran tersebut dipercayai mencetuskan tindakan kanak-kanak terbabit membaling batu dan melontarkan sebatang besi ke arah wanita berkenaan.



