
KUALA TERENGGANU –Seorang lelaki warga emas maut digilis sebuah bas sewaktu melintas jalan di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 12 tengah hari tersebut, mangsa, Mat Ghani Mamat, 77, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, bas tersebut dipandu seorang lelaki berusia 66 tahun yang dalam perjalanan dari Kuala Besut mahu memasuki terminal bas tersebut.
“Sebaik sedang membelok bagi memasuki terminal bas berkenaan, bas tersebut gagal mengelak lalu terlanggar mangsa (Mat Ghani) yang sedang berjalan kaki.
“Sebelum kejadian, mangsa dikatakan baru singgah di sebuah kedai makan berhampiran,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, mayat Mat Ghani telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini, untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post Warga emas maut digilis bas di Terminal Bas MBKT appeared first on Kosmo Online.






