Ulasan CMF Headphone Pro – Ada Gaya, Warna Dan Irama

EntertainmentLifestyle
15 Oct 2025 • 10:50 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Selepas mencipta kejayaan melalui Nothing Headphone (1), sub-jenama CMF melancarkan alternatif bajet yang lebih ceria dan bergaya melalui CMF Headphone Pro. CMF menampilkan fon kepala ini dengan reka bentuk kontemporari dan pilihan warna yang menyerlah, sambil menetapkan harga jualan pada RM429.

image is not available

CMF memberi tumpuan terhadap gaya moden, fungsi pintar dan nilai keseluruhan dalam produk sulung mereka ini. Persoalannya kini adakah CMF Headphone Pro mampu menandingi Nothing Headphone (1) dari segi pengalaman audio dan nilai yang ditawarkan?


Spesifikasi

CMF Headphone Pro
JenisFon telinga belakang tertutup
Pemandu40 mm (20 Hz – 20 kHz)
Diaphragm – Dome material: PEN+PU
Coating – Nickel plating
Tuning NOTHING
Mikrofon5 mikrofon
Bateri720 mAh
Sehingga 100 jam (ANC OFF)
Sehingga 50 jam (ANC ON)
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarTiada
CODECAAC/SBC/LDAC
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaSemua
Pad KawalanMulti-function Roller
Customizable Button
Energy Slider
Kemampuan kalis airIP52
Harga RM429

Rekaan Dan Penggunaan – Rekaan Modular

Kami mencuba CMF Headphone Pro kerana tertarik dengan reka bentuk modularnya. Versi Light Green yang kami terima menampilkan gaya yang segar dan unik. Warna tersebut menyerlahkan penampilan harian kami serta menarik perhatian sesiapa yang memandang.

Fon kepala ini seberat kira-kira 283g dan memberikan rasa ringan sebaik sahaja dipakai. Kami menikmati keselesaan serta-merta tanpa tekanan berlebihan pada kepala atau telinga. Gabungan rekaan ergonomik dan kemasan berkualiti juga menjadikan setiap sesi pendengaran lebih menyeronokkan.

image is not available

Salah satu ciri paling menonjol pada CMF Headphone Pro ialah kusyen telinga yang boleh ditukar ganti. Proses penukaran terasa kemas dan praktikal kerana ia membolehkan kami menyesuaikan fon kepala ini mengikut keperluan. Kami berpeluang menggantikan pad asal dengan pad berwarna oren yang dijual secara berasingan pada harga RM89.

Penukaran pad ini sangat mudah kerana kami hanya perlu memutar pad lama lawan arah jam untuk menanggalkannya. Selepas itu, kami memasang pad baharu dengan memutarnya pula mengikut arah jam. Proses ini bukan sahaja menjimatkan masa kerana reka bentuknya yang menyeluruh malah memberikan pengalaman penggunaan yang mesra pengguna.

image is not available

Namun begitu, kami menyedari bahawa penggunaan bahan plastik sebagai komponen utama boleh menimbulkan persoalan tentang ketahanan jangka panjang. Meskipun bahan ini menjadikan fon kepala lebih ringan dan selesa dipakai namun keteguhannya tidak setanding dengan binaan aluminium. Oleh itu, ia mungkin menjadi pertimbangan penting bagi pengguna yang mengutamakan ketahanan fizikal dalam penggunaan harian.

Kusyen telinganya juga lembut dan selesa, seakan lapisan tilam foam yang memberikan sokongan tanpa tenggelam. Sepanjang sesi pendengaran yang panjang, fon kepala ini kekal selesa dan ringan. Selain itu, ia tidak memberi tekanan pada kepala sekali gus menjadikannya sesuai untuk penggunaan berterusan.

image is not available

Bahagian kawalan pada CMF Headphone Pro direka dengan fokus terhadap kemudahan penggunaan. Sepanjang pengalaman kami, setiap fungsi kawalan beroperasi dengan lancar dan membolehkan pelarasan audio dilakukan secara terus tanpa sebarang gangguan.

Salah satu ciri utama ialah Energy Slider yang membolehkan kami melaras keseimbangan bunyi dengan mudah. Kami boleh menyesuaikan tahap bass dan treble mengikut cita rasa dan ciri ini turut menyokong konfigurasi lain melalui aplikasi Nothing X. Ciri ini bukan sekadar gimik kerana setiap pelarasan bunyi menghasilkan perubahan yang jelas dan ketara terhadap keseluruhan pengalaman mendengar.

image is not available

Multi-function Roller memberikan kawalan fizikal yang tepat dan mudah digunakan. Setiap putaran terasa responsif kerana ia membolehkan kami melaras kelantangan, memainkan semula audio serta menukar mod ANC dengan selesa. Selain itu, Customizable Button membolehkan kami menetapkan fungsi mengikut keperluan. Kami memilih untuk menggunakannya bagi menukar antara mod ANC dan Mod Telus dengan pantas. Hasilnya, kawalan terasa lebih menyeluruh kerana susun atur kawalan yang mesra pengguna dan mudah difahami sekali gus memudahkan penggunaan harian.

image is not available

CMF Headphone Pro menyokong tambatan pantas melalui Bluetooth 5.4. Ia juga dilengkapi dengan fungsi Dual Connection yang membolehkan sambungan serentak kepada dua peranti dalam julat sehingga 10 meter. Ia turut menyokong pelbagai codec audio seperti AAC/SBC/LDAC bagi memastikan kualiti bunyi yang konsisten merentasi pelbagai platform. Sokongan integrasi pintar seperti Google Fast Pair dan Microsoft Swift Pair memudahkan sambungan. Fon kepala ini juga menerima penarafan IPX2 yang menjamin ketahanan terhadap debu dan percikan air.


Aplikasi Sambungan – NOTHING X

CMF Headphone Pro boleh dipadankan dengan aplikasi Nothing X untuk membuka akses dengan lebih menyeluruh kepada pelbagai ciri kawalan tambahan. Melalui aplikasi ini, kami boleh menyesuaikan tahap Active Noise Cancellation (ANC) dengan pilihan tetapan seperti Low, Medium, High atau mod Adaptive yang melaras bunyi secara automatik mengikut keadaan persekitaran.

image is not available

image is not available

Aplikasi menyediakan mod Spatial Audio yang mampu mencipta kesan bunyi sekeliling yang menyerupai suasana konsert langsung atau tayangan di pawagam. Tetapan EQ pula menawarkan beberapa pilihan seperti Pop, Rock dan Custom yang membolehkan kami melaras profil audio secara manual mengikut cita rasa sendiri. Selain itu, kami boleh menyesuaikan fungsi butang dan roda kawalan sepenuhnya termasuk menetapkan Energy Slider bagi melaras tahap Treble mengikut keperluan masing-masing.


Pengalaman Audio – Fokus Kepada Bass

image is not available

Kami mendapati CMF Headphone Pro hadir dengan bunyi berprofil V yang menekankan frekuensi bass dan treble secara mendalam. Sementara itu, frekuensi pertengahan seperti vokal dan gitar sedikit dikurangkan sehingga bunyi vokal atau instrumen utama kedengaran lebih jauh dari pusat persembahan. Dari segi pementasan audio, kami merasakan ia agak terhad kerana susunan bunyinya yang padat walaupun masih terdapat lapisan yang membantu mewujudkan sedikit rasa ruang dalam keseluruhan persembahan bunyi.

Nada Rendah (Bass)

image is not available

Kami merasakan bahagian bass pada CMF Headphone Pro lebih tertumpu kepada sub-bass berbanding mid-bass. Hasilnya, bunyi bass kedengaran lebih jelas dan tidak menenggelamkan vokal. Apabila kami menaikkan Energy Slider, kesan bass menjadi lebih dalam serta bertenaga. Walau bagaimanapun, kami mendapati bunyi bass masih terasa sedikit lembut dan kurang responsif terhadap rentak muzik yang pantas dan berlapis. Karakter bass ini sesuai untuk genre seperti pop, R&B dan hip-hop. Namun, ia kurang ideal bagi audio yang memerlukan ketepatan dan kawalan bass yang tinggi.

Bahagian Pertengahan (Mids)

image is not available

Kami mendapati nada pertengahan pada CMF Headphone Pro kedengaran sedikit tenggelam. Keadaan ini menyebabkan vokal terasa jauh dari pendengar. Vokal lelaki dan wanita masih boleh didengar dengan jelas namun kekurangan kekuatan dalam penyampaian menjadikannya kurang menyerlah. Walaupun begitu, kami mendapati keseluruhan nada masih mengekalkan karakter semula jadi. Kejelasan pada frekuensi tinggi turut membantu menambah keseimbangan dalam profil bunyi secara keseluruhan.

Bahagian Tinggi (Highs)

image is not available

Nada tinggi (Highs) pada fon telinga ini mempunyai karakter yang lembut dan tidak terlalu jelas yang menjadikannya selesa untuk didengar dalam tempoh yang lama tanpa menyebabkan keletihan telinga. Walaupun bunyi seperti cymbal dan snare kedengaran sedikit tumpul, treble ini masih menawarkan keselesaan kepada pendengar yang kurang menggemari nada tinggi yang terlalu tajam atau menusuk. Pendekatan ini menjadikan pengalaman mendengar lebih santai terutamanya untuk sesi audio yang panjang.

Prestasi ANC

image is not available

Prestasi pembatalan hingar aktif (ANC) pada CMF Headphone Pro adalah asas dan sederhana. Bunyi seperti enjin dan penyaman udara berkurang sedikit, namun masih boleh didengari. Frekuensi tinggi pula kekal jelas dengan penurunan yang minimum. Ciri ANC ini memadai untuk kegunaan harian atau semasa menaiki pengangkutan awam, tetapi kurang sesuai untuk penerbangan jarak jauh yang memerlukan tapisan bunyi lebih menyeluruh.


Ketahanan Bateri – Berfungsi 100 Jam

CMF menyatakan bahawa bateri CMF Headphone Pro mampu bertahan sehingga 50 jam dengan ANC diaktifkan dan mencapai 100 jam tanpa ANC. Meskipun begitu, ketahanan sebenar masih bergantung kepada corak penggunaan khususnya tahap kelantangan audio namun prestasi terbukti mengagumkan.

image is not available

Sehingga kini, kami masih belum mengecasnya sejak hari pertama diterima kira-kira seminggu lepas. Tahap bateri masih berada pada 45% dengan penggunaan berterusan semasa kerja pada tahap bunyi antara 50% hingga 60%. Ini menunjukkan kecekapan bateri yang sangat baik untuk kegunaan harian.


Kesimpulan

Dengan harga RM429, CMF Headphone Pro menawarkan pengalaman audio cukup menyeronokkan, bergaya dan penuh warna. Ia mungkin bukan pilihan utama untuk pendengar tegar atau audiophile namun cukup memuaskan untuk kegunaan harian biasa.

image is not available

Bass yang bertenaga, hayat bateri yang panjang serta pad telinga yang boleh ditukar menjadikannya lebih menarik berbanding kebanyakan fon kepala bajet lain. Walaupun ciri ANC agak terbatas dan kualiti audio tidak begitu terperinci untuk vokal atau muzik orkestra, CMF Headphone Pro masih menyerlah dengan gaya yang ceria dan santai. Sesuai untuk cita rasa generasi moden yang berani tampil berbeza.

image is not available

**Cubaan dan ulasan disediakan oleh pasukan videografi kami, Soh Li Jin dengan sokongan teks tambahan daripada Amy Maizuraa.