Ulasan Honor MagicBook Art 14 2025 – Komputer Elegan Berprestasi Tanpa Kompromi

TechnologyDigital
27 Aug 2025 • 8:45 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Selepas bergelumang dalam dunia teknologi, saya sedari yang diperlukan pada sebuah komputer kerja ialah kuasa tinggi, RAM mencukupi, bateri tahan lama dan saiz yang sederhana. Tetapi kombinasi ini jarang sekali wujud pada komputer riba Windows kerana kekangan teknologi. Mahukan yang berkuasa? Komputer riba gaming berat dan bateri bertahan hanya beberapa jam pula perlu dibeli.

image is not available

Mahukan komputer riba kompak? Kurang berkuasa pula dengan bateri yang juga tidak menakjubkan. Maka apabila diberikan Honor MagicBook X14 2025 untuk diulas, saya akhirnya menemukan sebuah komputer riba kerja yang tidak lagi perlu berkompromi.

Honor MagicBook Art 14 2025
Skrin14.6″ (3120×2080 pixel), 3:2.
OLED Touch, 120Hz, 1600 nit
CPUIntel Core Ultra 7 255H
GPUIntel Arc 140T
RAM32 GB LPDDR5x
Storan Dalaman1TB SSD
Kamera Utama1080P
I/O1 x USB-C1: USB3.2 Gen2
1 x USB-C2: Thunderbolt 4
1 x USB-A (USB 3.2 Gen 1)
1 x HDMI: HDMI 2.1-TMDS
1 x 3.5mm Bicu audio
Bateri60Wh
Pengecasan 65W USB-C
SIM/TelefoniTiada
WiFi802.11a/b/g/n/ac/ax
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanCap jari
Harga JualanRM5999


SKRIN

Skrin adalah sebesar 14.6″ OLED dengan resolusi 3120×2080 pixel dan bernisbah 3:2. Gambar yang dipaparkan amat menakjubkan kerana bayang skrin telefon mercu pada saiz lebih besar. Warna bukan sahaja nampak hidup tetapi memaparkan kandungan HDR10 yang nampak realistik. Saya jarang mengulas komputer riba tetapi saya rasakan skrin MagicBook Art 14 2025 ialah yang paling menakjubkan pernah digunakan.

image is not available

Ia membuatkan skrin MacBook Air yang saya gunakan sekarang seperti sebuah produk kuno. Ini dibantu juga dengan sokongan sentuhan 10 jari dari nisbah skrin 3:2. Lebih banyak barisan dapat dipaparkan pada skrin menerusi nisbah ini yang menjadikannya serasi untuk mereka yang melakukan banyak kerja menaip (seperti saya).

image is not available

Sudut pandangan adalah amat baik kerana ini ialah panel OLED dengan keterangan maksimum 1600 nit. Tak kiri dari atas, bawah atau sisi, kandungan yang dipaparkan skrin akan nampak sempurna. Jika ada kekurangan ialah skrin ini boleh disentuh dan memerangkap kotoran dengan amat mudah. Tidak teknologi lapisan oleophobic digunakan untuk mengelakkan cap jari melekap mudah.

REKABENTUK

Rekabentuk mengitar semula rekaan MagicBook Art 14 2024 dengan tiada perubahan ketara dilakukan. Ianya masih kompak, ringan, premium dan hadir dengan pelbagai jenis port yang tidak ditawarkan pada komputer riba dalam kelas yang sama. Berapa ringan? Hanya 1.03 kilogram yang langsung tidak dirasa apabila komputer riba disandang dalam beg dan dibawa berjalan. Dalam kedudukan tertutup ia hanya setebal 11.5mm yang menjadikannya nipis untuk sebuah komputer riba.

image is not available

Butang kuasa berbentuk kotak diletakkan di bahagian atas, satu barisan dengan kekunci F. Terdapat pengimbas cap jari dengan Windows Hello untuk menyahkunci pantas. Pengimbas cap jari ini beroperasi dengan konsisten tanpa sebarang isu sepanjang tempoh ulasan.

image is not available

Terdapat dua bukaan lohong penyedut udara untuk pengudaraan pada sisi kanan dan kirii belakang skrin dengan sebaris lubang udara diletakkan di bahagian bawah. Agak menarik melihat komputer riba senipis ini mepunyai sistem penyejukan komprehensif lengkap dengan kipas aktif. Pada sisi kiri terdapat dua USB-C (1x USB3.2 Gen2 dan 1x Thunderbolt 4) serta tempat simpanan kamera bermagnet.

image is not available

Pada sebelah kanan terdapat port HDMI 2.1, bicu audio 3.5mm dan USB-A USB3.2 Gen2). Penawaran port adalah agak lengkap cuma tiada pembaca kad microSD dan slot kunci Kensington yang biasanya disertakan. Saya tidak akan mengeluh sangat kerana port yang ditawarkan Honor sebenarnya jauh lebih mewah berbanding 90% komputer riba nipis lain.

image is not available

Terdapat enam speaker yang menembak ke atas diletakkan di bawah dua set kekisi di kiri dan kanan papan kekunci. Mirip dengan rekaan MacBook Air dan kualiti audio yang dilontar adalah amat baik. Jelas, lantang dan tidak terasa rata. Jika anda golongan minoriti yang masih menonton video di komputer riba, sistem audio MagicBook 14 Art adalah baik sekali.

image is not available

PAPAN KEKUNCI

Papan kekunci adalah dari jenis chicklet yang diperbuat daripada bahan titanium tahan lasak. Sungguhpun begini menaip terasa selesa dengan ruang di antara kekunci adalah cukup baik. Terdapat sistem lampu terbina yang boleh diaktifkan ke mod automatik, sederhana terang atau maksimum.

image is not available

Dalam sesi permainan video pula ia masih kekunci yang baik kerana mengesan kesemua tekanan jari yang kami berikan. Pengesanan juga memuaskan tanpa kami menyedari kawalan yang diberikan tidak dikesan atau mempunyai lengah masa yang boleh disedari. Terdapat butang untuk menyeru Copilot kerana komputer riba ini ialah sebuah Copilot+ PC dengan pelbagai ciri kecerdasan buatan (AI) terbina.

image is not available

Permukaan papan kekunci adalah tidak berkilat dengan tekstur sedikit kasar bagi memastikan mintak pada jari tidak mudah dipindahkan ke kekunci. Saya amat sukakan tekstur ini kerana memberikan tindak balas tampak pada jari apabila menaip. Kekunci juga tidak bising apabila digunakan yang adalah bonus bagi mereka yang tidak mahu mengganggu orang persekitaran semasa menaip.

PAD SESENTUH

Pad sesentuh tidak amatlah besar membuatkan ia sangat selesa digunakan untuk melakar kerja di dalam Photoshop. Sebagai pembenci membawa aksesori seperti tetikus, pad sesentuh MagicBook Art 14 ini amatlah berguna. Terdapat pelbagai sokongan gestur dan pad dapat mengesan setiap gerakan serta tekanan dengan cukup jitu. Sistem tindak balas haptiknya juga harus diberikan pujian kerana mirip seperti di MacBook.

image is not available

PRESTASI Dan PENGGUNAAN

Di Malaysia MagicBook 14 ART hanya ditawarkan dengan cip Intel Core Ultra 7 255H yang dipadankan dengan memori sehingga 32GB RAM LPDDR5x 8400 MT/s dan storan 512GB M.2 PCIe 4.0. Kombinasi pemproses, RAM dan SSD yang saya rasakan cukup mantap. Hanya SSD sahaja boleh dinaik taraf dengan terdapat satu slot M.2 boleh diakses apabila panel bawah dibuka. RAM tidak boleh dinaiktaraf kerana ia terbina terus pada cip pemproses.

image is not available

Storan yang digunakan mampu mencapai tahap membaca 6.911 GB/s dan menulis pula sehingga 6.148 GB/s yang pantas bagi sebuah komputer riba kerja. Maka tidak mengejutkan prestasi memasang dan membuka aplikasi pada komputer riba ini terasa pantas dan responsif.

Dalam ujian Fire Strike Extreme, Wild Life Extreme dan Time Spy Extreme, markah yang dicatatkan adalah setanding dengan purata komputer riba kerja di pasaran. Jadi tidak mengejutkan juga dalam ujian PCMark10, markah yang dicatatkan adalah jauh lebih baik daripada purata komputer riba kerja lain. Memori 32GB RAM adalah jauh lebih besar berbanding 8GB yang digunakan pada komputer riba kerja.

image is not available

Ujian sintetik hanya memberikan angka yang abstrak tetapi bagaimana dalam penggunaan dunia sebenar? Tugas kertas kerja, menulis artikel, dokumen Excel, Words, Docs, Photoshop, PhotoScape dan CapCut kesemuanya berjalan lancar. Komputer mula menjadi suam dan kipas diaktifkan apabila melakukan suntingan video dan Photoshop yang kompleks. Dalam majoriti kerja seperti melayari web dan dokumen kerja, kupas penyejuk tidak diaktifkan.

image is not available

MagicBook 14 Art 2025 masih boleh digunakan sebagai komputer riba gaming tetapi hanya untuk permainan yang sudah agak berusia atau yang tidak memerlukan tetapan tinggi. Permainan juga perlu dimainkan pada tetapan 1080P sederhana sahaja. Apabila permainan video dilancarkan, komputer memanas dan kipas penyejuk dapat didengari dengan lebih jelas.

Saya tidak boleh menyarankan anda menggunakan komputer nipis serta elegan ini untuk permainan seperti Cyberpunk 2077 atau Red Dead Redemption 2. GTA V yang sudah berusia sedekadpun tidak boleh dimainkan lancar pada tetapan tinggi. Letakkan palang harapan permainan yang ingin dimainkan lebih rendah.

BATERI

Bateri 60Wh diiklankan boleh bertahan selama 10 jam dengan sekali caj. Dalam penggunaan kerja harian di Amanz, waktu penggunaan sehingga 12 jam boleh dicapai dengan agak konsisten kerana saya mengurangkan keterangan dan jarang sekali memainkan audio. Pengecasan semula adalah menggunakan pengecas 65W dengan ia mengambil masa sekitar 100 minit yang masa yang biasa untuk sebuah komputer riba. Pengecasan ialah menerusi salah satu port USB-C di sisi kiri komputer.


KESIMPULAN

Honor MagicBook Art 14 2025 ialah sebuah komputer riba kerja Copilot+ PC yang sangat elegan pada rekabentuk, berprestasi dengan spesifikasi tinggi, dilengkapi kekunci yang sedap digunakan dan hadir dengan pilihan I/O yang cukup lengkap.

image is not available

Kesemuanya dimuatkan dalam tubuh yang nipis serta berat hanya sedikit sahaja melebihi 1 kilogram. Memang patutlah ia mempunyai “Art” di dalam namanya kerana jurutera artisan di Honor berjaya menghasilkan komputer riba kerja yang seksi tanpa kompromi.

MagicBook Art 14 2025 dijual pada harga RM5999 dalam warna Mocha Brown dan Emerald Green.

PRO dan Kelebihan

  • Prestasi yang baik tugasan kerja, video dan permainan ringan.
  • Pilihan I/O yang mencukupi.
  • Papan kekunci yang sedap untuk menaip dan gaming.
  • Kemasan amat menarik dan premium.
  • Hayat bateri yang memuaskan.
  • Sistem audio lantang dan jelas.

KONTRA dan Kekurangan

  • Kamera yang perlu ditanggalkan adalah sedikit leceh.
  • Sedikit suam walaupun melakukan kerja-kerja ringan.

image is not available