Ulasan Redmi Pad 2 4G – Tablet Media Mudah Alih Mampu Milik

TechnologyDigital
23 Jun 2025 • 4:40 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Redmi Pad 2 dilancarkan di Thailand hari ini dengan ia turut memasuki pasaran Malaysia. Dengan harga jualan bermula RM599, ia adalah tablet yang ditawarkan pada harga yang cukup mampu milik. Tetapi adakah ini memadai untuk membuatkannya berbaloi dimiliki? Ini ulasan penuh saya untuk Redmi Pad 2.

image is not available

Spesifikasi Dan Rekaan

Redmi Pad 2
Skrin11″ IPS LCD,
2560 x 1600 pixel, 90Hz
PemprosesMediaTek Helio G100 Ultra
Cip2 X 2.2 GHz A76
6 X 2.0 GHz A55
Cip GrafikMali-G57 MC2
RAM4/8 GB LPDDR4X
Muatan Dalaman128/256 UFS 2.2 (mikro SD 2TB)
Kamera Utama8 Megapixel f/2.0
Kamera Swafoto5 Megapixel f/2.2
Bateri9000 mAh
Pengecasan berwayar 18W
SIM/TelefoniYa/4G
NFCTiada
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanWajah
Harga JualanRM 599 (4/128GB) WiFi
RM 699 (8/256GB) WiFi
RM 799 (4/128GB) 4G
RM 999 (8/256GB) 4G

Rekaan tablet ini adalah sama seperti beberapa tablet OEM mampu milik yang sama ulas sejak tiga tahun kebelakangan ini. Ianya tidak menakjubkan, unik, satu dalam sejuta ataupun akan menarik perhatian anda. Adalah sangat Spartan tetapi praktikal.

image is not available

Skrin rata 11″ IPS LCD dengan resolusi 2.5K dan kadar segar semula 90Hz mempunyai bezel sederhana tebal, sisi yang berkotak dan panel belakang logam dengan rekaan dwi tona. Skrin tidak mempunyai sokongan HDR secara rasmi dan mempunyai keterangan setakat 600 nit sahaja.

Bezel yang sederhana besar mempunyai saiz yang sama pada keempat-empat sisi yang membuatkan peranti kelihatan seimbang. Ianya cukup besar untuk meletakkan jari dengan selesa tanpa ia menghalang kandungan yang ingin ditonton.

image is not available

Paparan adalah masih memuaskan sekiranya tablet digunakan di dalam rumah dengan warna yang terang dan skrin juga masih lagi tajam. Kekurangan mula terserlah apabila digunakan di luar rumah, cahaya matahari yang terik boleh membuatkan sedikit sukar melihat apa yang dipaparkan di skrin.

Saya menggunakan Redmi Pad 2 untuk menonton video dalam kapal terbang. Dalam pesawat semuanya ok. Apabila saya ke luar untuk mengambil gambar di Bangkok, skrin tidak cukup terang yang memaksa saya menggunakan penutup skrin untuk menghalang cahaya matahari.

image is not available

Tubuh diperbuat daripada bahan aluminium dengan sisi yang rata. Dalam tangan ianya selesa dan peranti tidak terasa terlalu berat. Pada sisi tubuh diletakkan butang laras kuasa, laras audio, empat kekisi speaker dan bicu audio.

Jarang sekali melihat tablet dengan bicu audio tetapi Redmi tidak lokek. Yang tidak disertakan hanyalah pemancar infra merah dan sistem imbasan cap jari. Redmi Pad 2 sekadar membenarkan nyahkunci menggunakan imbasan wajah dan kad/kod laluan.

image is not available

Empat speaker diletakkan pada bahagian sisi menyokong audio Dolby Atmos dan Xiaomi Sound. Dolby Atmos disokong pada speaker fizikal dan aksesori audio yang saya rasakan bonus kerana lazimnya pada peranti mampu milik ini tidak diberikan oleh pengeluar.

Terdapat sebuah talam untuk kad mikro SD sehingga 2TGB dan untuk SIM. Tablet menyokong rangkaian 4G, Wifi sehingga 5GHz dan tambatan bluetooth 5.3. Melengkapi rekaan peranti ialah port pengecasan USB-C pada bahagian bawah. Peranti juga tidak mempunyai sebarang piawaian kalis air.

image is not available


Penggunaan Dan Perisian

Xiaomi HyperOS 2 digunakan dengan ia berasaskan Android 15. Antaramukanya mirip dengan pengalaman saya menggunakan peranti HyperOS sebelum ini cuma dengan sentuhan ciri. tablet. Terdapat satu talam pintasan ke beberapa aplikasi dan aplikasi yang dibuka diletakkan di bahagian bawah skrin.

image is not available

HyperOS adalah minimalis dan lancar digunakan walaupun cip Helio G100 Ultra yang digunakan hanyalah daripada kelas permulaan. Ciri tambahan diberikan seperti melancarkan dua aplikasi serentak, melancarkan aplikasi pada nisbah skrin berbeza dan banyak lagi. Terdapat juga ciri Memory Extension yang membolehkan RAM ditambah secara maya sebanyak 4GB, 6GB dan 8GB RAM dengan mengambil sebahagian storan UFS 2.2 peranti.

Menerusi ekosistem Xiaomi, ciri memindahkan nota daripada telefon ke tablet, menjawab panggilan telefon menerusi tablet dan mengakses internet pada telefon menerusi tablet juga disokong. Pendek kata walaupun Pad 2 adalah tablet kelas permulaan, ia masih dilengkapi pelbagai ciri menarik.


Penanda Aras

Cip MediaTek Helio G100 Ultra merupakan cip kelas permulaan yang dilengkapi 2 teras CPU Cortex A76 dan 6 teras CPU Cortex A55 yang dipadankan dengan GPU Mali G57 MC2. Markah yang dicatatkan dalam tiga aplikasi penanda aras utama adalah seperti di bawah.

  • Geekbench 6 – 727/1928 Markah
  • Antutu 3D Lite – 422,508 Markah
  • 3D Mark Wild Life Extreme – 342 Markah

image is not available

Menjalankan pelbagai aplikasi lazim seperti Chrome, Facebook, Instagram, WhatsApp dan YouTube tidak mendatangkan sebarang masalah pada unit dengan 8GB RAM yang saya ulas ini. Malahan operasi adalah lancar cuma masa melancarkan aplikasi sedikit perlahan kerana peranti menggunakan storan UFS 2.2 yang bukanlah paling pantas di pasaran.

image is not available

Bagi peminat permua, saya hanya boleh katakan permua grafik 2D, permua klasik seperti Street of Rage dan Mobile Legends Bang Bang sahaja boleh dijalankan pada kadar bingkai memuaskan. Apabila aplikasi seperti COD Mobile dan Genshin pula cuba dijalankan mula menunjukkan ia tidak cukup berkuasa. Proses memasang aplikasi mengambil masa yang lama kerana storan perlahan. Mahu muat turun kesemua skrin, peta, senjata dan audio COD Mobile? Baik pergi makan dahulu kerana saiz fail besar dan storan perlahan.

Untuk kepuasan maksimum hadkan muat turun aplikasi yang tidak memerlukan kuasa pemprosesan tinggi. Anak saya misalnya tidak mengeluh menggunakan Redmi Pad 2 untuk menjalankan Roblox, Toca Boca dan YouTube Kids. Untuk anak-anak saya rasakan prestasi Redmi Pad 2 adalah lebih daripada mencukupi.


Kamera

Kamera utama di belakang adalah sebesar 8MP dan di hadapan pula sebesar 5MP sahaja yang mengingatkan saya kepada telefon pintar yang dilancarkan lebih 12 tahun yang lalu. Maka harapan saya mengenai kamera peranti ini tidak lah berapa tinggi.

Dalam situasi pencahayaan yang baik gambar sekadar memuaskan untuk sebuah tablet. Imej boleh tahan dan masih nampak agak jelas. Cuma boleh dilihat penghasilan semula warna yang kurang tepat. Apabila gambar diambil dalam situasi pencahayaan yang kurang memuaskan, dapat dilihat hingar. Imej yang terhasil turut tidak begitu tajam kerana kamera tidak dilengkapi sistem OIS. Kamera turut bukan yang terpantas dengan ada sedikit lengah masa apabila butang kamera ditekan.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available


Bateri

Bateri sebesar 9000 mah memberikan hayat SOT mencecah 11 jam dalam penggunaan sederhana dengan Redmi mengatakan tablet ini boleh digunakan menonton video sehingga 19 jam. Tetapi ini hanya boleh dicapai jika WiFi/4G dimatikan. Pengecas 15W yang disertakan membolehkan bateri dicas sepenuhnya dalam masa 3 jam. Ini adalah agak lama tetapi inilah hakikat peranti dengan bateri 9000 mAh. Sungguhpun pengecas 15W sahaja diberikan, Redmi Pad 2 menyokong pengecasan sehingga 18W.

image is not available

Audio

Audio dari empat speaker adalah lantang, jelas dan memuaskan. Biasanya tablet dalam segmen mampu milik mempunyai audio yang tidak memuaskan. Pada Redmi Pad 2, audio tidak terasa rata dan dapat didengari bass yang dalam. Sistem audio Dolby Atmos dan Xiaomi Sound boleh digunakan pada speaker fizikal dan bukan sahaja apabila disambungkan kepada aksesori audio. Bagi yang masih mempunyai aksesori audio berwayar, bicu audio 3.5mm turut disertakan.

image is not available


Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian Oppo Pad Air di Malaysia.

  • 1x Redmi Pad 2 4G
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pengecas 15W
  • 1x Pin SIM
  • 1x Manual

image is not available

Kesimpulan

Redmi Pad 2 ialah sekeping tablet kelas permulaan yang tidak menakjubkan tetapi pada waktu yang sama juga tidak mengecewakan. Sepanjang tempoh ulasan saya menggunakannya sebagai peranti penstriman serta permua retro dan ia berfungsi dengan cukup baik sekali. Dalam kapal terbang, ia adalah pengganti sistem hiburan dalam pesawat kerana skrinnya yang lebih besar membuatkan tontonan terasa lebih memuaskan.

Pelabagai permua 2D retro boleh dijalankan dengan lancar. Saya hanya boleh sarankan beberapa permua 3D sahaja dengan cip kelas permulaan yang digunakan tidak cukup berkuasa untuk menjalan permua seperti Wuthering Waves, atau Genshin Impact pada tetapan yang tinggi.

image is not available

Pujian saya berikan pada audio Dolby Atmos yang amat baik bagi sebuah tablet mampu milik. Sebuah lagu pujian saya berikan pada ketahanan bateri. Terdapat sokongan stylus tetapi saya tidak dapat mengujinya kerana tidak menerima stylus untuk diulas bersama.

Kekurangan terletak pada pengecasan perlahan 18W, pemproses kurang berkuasa, skrin tidak cukup terang jika digunakan di luar dan storan yang perlahan jika dibandingkan dengan peranti mercu yang biasa saya gunakan.

Pada harga bermula RM599 sebuah, ia adalah pilihan yang baik bagi mereka yang mencari tablet pertama atau tablet untuk menonton kandungan video yang mampunyai hayat bateri yang baik. Saya sarankan membeli model dengan 8GB RAM kerana berdasarkan pengalaman sebelum ini, peranti Android 4GB akan mempunyai isu membuka banyak aplikasi serentak dan menjalankan permua.

Pro

  • Skrin besar yang menyokong stylus dengan sokongan resolusi tinggi.
  • Kuad speaker dengan Dolby Atmos mempunyai kelantangan yang memuaskan.
  • Boleh menjalankan pelbagai aplikasi lazim tanpa masalah.
  • Sokongan kad mikro SD sehingga 2TB.
  • Bateri 9000 mAh yang tahan lama.
  • Bicu audio 3.5mm.

Kontra

  • Skrin tidak cukup terang jika digunakan di luar.
  • Kamera tidak begitu memuaskan.
  • Tiada pengimbas cap jari.
  • Pengecasan agak perlahan mengambil masa 3 jam.

image is not available