Tahun ini siri Galaxy A menyambut ulang tahun ke 12 ia dilancarkan sebagai alternatif kepada siri Galaxy S pada harga lebih murah dengan spesifikasi lebih rendah. Namun ia masih menawarkan ciri mercu seperti skrin AMOLED, kemampuan kalis air serta debu (yang dianggap mewah dahulu) dan rekaan masih premium. Selepas sedekad wujud, adakah Samsung Galaxy A57 5G masih lagi meneruskan legasi asal atau sebaliknya.

Spesifikasi
| Samsung Galaxy A57 5G | |
| Skrin | 6.7″ AMOLED, LTPO FHD+, 120Hz, HDR10+ |
| Pemproses | Exynos 1680 (4nm) |
| Cip | 1x Cortex-A720 2.9 GHz 3x Cortex-A720 2.6 GHz 4x Cortex-A520 1.95 GHz |
| GPU | Xclipse 550 |
| RAM | 12 GB LPDDR5x 8GB Memori maya |
| Storan | 256/512 GB UFS 3.1 |
| Kamera Utama | 50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 5MP f/2.4 (Makro) |
| Kamera Hadapan | 12 MP f/2.2 |
| Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 45W |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM/5G |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP68 |
| Sistem Imbasan | Cap jari bawah skrin optikal Imbasan wajah |
| Harga | RM 2399 (12/256GB) RM 2699 (12/512GB) |
Skrin
Skrin adalah sebesar 6.7″ AMOLED dengan resolusi FHD+ serta menyokong kadar segar semula 120Hz tetapi bukan dari jenis LTPO. Seperti skrin A56, bezel tidak sekata di keempat-empat sisi dengan bezel lebih besar di bahagian bawah. Jika simetri penting kepada anda, hanya siri Galaxy S sahaja menawarkannya pada peranti keluaran Samsung.

Skrin boleh memaparkan kandungan HDR sahaja dalam beberapa aplikasi pentriman popular dan bukannya HDR10+. Paparan warna masih lagi cantik dan keterangan adalah memuaskan sungguhpun di bawah mentari yang panas. Ia juga responsif mengesan sentuhan dan tatalan sentiasa nampak lancar apabila mod adaptif 120Hz diaktifkan. Sistem haptik pula adalah memuaskan namun tidak sebagai siri Galaxy S.
Biometri
Sebuah pengimbas cap jari optikal diletakkan di bawah skrin dengan kedudukannya lebih rendah berbanding siri Galaxy S. Ini ialah kelaziman pada peranti kelas pertengahan dengan pengimbas tidak diletakkan di kedudukan yang lebih ergonomik. Ia berfungsi dengan pantas asalkan jari tidak basah atau kotor.

Jika pengimbas cap jari tidak ingin digunakan, masih terdapat sistem imbasan wajah yang masih agak pantas. Tanpa sistem pemancar IR, pengimbas wajah hanya berfungsi dengan baik dalam situasi persekitaran yang terang.
Rekaan
Rekaan adalah sama sahaja dengan Galaxy A56. Sisi diratakan dengan skrin juga rata. Bingkai logam aluminium mempunyai warna yang sama dengan panel belakang yang menjadikan peranti nampak sekata. Pada sisi kanan terdapat lekuk lebih tinggi bagi menempatkan butang kuasa dan laras audio. Kedua-dua butang ini diperbuat daripada logam dan selesa ditekan dengan jari,

Talam dwi SIM nano diletakkan di bahagian bawah tanpa sokongan kad mikro SD. Belahan untuk speaker dan pengecas USB-C juga diletakkan di bawah. Akhir sekali di atas terdapat lubang untuk mikrofon.

Panel belakang diperbuat daripada plastik dengan satu bonggol besar menempatkan tiga lensa kamera dengan ia kini diperbuat daripada plastik lutcahaya. Nampak kurang menarik jika dibandingkan dengan A56 yang saya rasakan kelihatan lebih bergaya dan kemas. Seperti Pixel 10a dan Pixel 9a, tiada perubahan luaran yang besar dapat saya lihat berbanding model tahun ini dengan tahun lalu.
Tubuh A57 melepasi piawaian IP68 yang meningkat daripada IP67 sahaja tahun lalu. Ini bolehlah dikatakan perkembangan yang positif tetapi pengeluar daripada China seperti Realme 16 Pro+ sudah menawarkan peranti dengan piawaian IP69 di Malaysia.

Penggunaan dan Perisian
Sistem operasi One UI 8.5 digunakan dengan ia berasaskan Android 16. Ia adalah versi yang sama seperti yang digunakan pada siri Galaxy S26 cuma tanpa lebih banyak ciri kecerdasan buatan yang lebih terkini. Siri Galaxy A menggunakan dilengkapi ciri kecerdasan buatan Awesome Intelligence dan bukannya Galaxy AI. Maka tiada Now Brief, Now Bar, Creative Studio atau sokongan ejen AI secara terbina.
Ini juga adalah versi One UI yang lebih terkini berbanding yang saya gunakan pada S25 Ultra dan Z Fold7. Maka adalah aneh peranti kelas pertengahan lebih terkini sistem operasinya. Antaramuka adalah ceria dan mudah difahami. Side Panel memberikan akses pantas ke beberapa ciri menarik seperti AI Select untuk tangkapan skrin lebih bijak dan menghasilkan GIF menerusi video pada skrin.

Awesome Intelligence membawakan ciri Google Circle to Search, Object Eraser, Auto Trim, Best Face, Custom Filter, Edit Suggestion, AI Select, Read Aloud dan Voice Transcription. Google Gemini boleh diseru menggunakan butang kuasa. Ciri-ciri AI yang ditawarkan tidak banyak tetapi majoritinya adalah berguna.

Penggunaan peranti adalah lancar dengan cip Exynos 1680 memberikan prestasi setanding dengan cip kelas pertengahan seperti Snapdragon 7s Gen 3. Menjalankan pelbagai aplikasi adalah pantas begitu juga dengan pelbagai permua. Memori 12GB adalah agak kecil jika dibandingkan dengan peranti keluaran pengeluar lain tetapi memori maya sehingga 8GB boleh ditambah menggunakan RAM Plus.
Samsung memberikan sokongan 6 versi Android dan 6 tahun tampalan sekuriti pada A57 dan semua siri Galaxy A tahun ini. Ia adalah sokongan peranti jangka panjang terbaik untuk peranti Android kelas pertengahan di Malaysia. Walau bagaimanapun ia masih di belakang siri Galaxy S dan Google Pixel yang disokong selama 7+7 tahun.
Penanda Aras
Cip Exynos 1680 ialah cip kelas pertengahan dengan konfigurasi teras 1x Cortex-A720 2.9 GHz, 3x Cortex-A720 2.6 GHz dan 4x Cortex-A520 1.95 GHz yang dipadankan dengan GPU Xclipse 550. Ini meletakkannya setanding dengan cip Snapdragon 7 Gen 4. Oleh itu di bawah ialah perbandingan markah penanda aras Exynos 1680 dengan beberapa lagi cip kelas pertengahan lain di pasaran.
- Realme 16 Pro+ – Snapdragon 7 Gen 4 (4nm)
- Nothing Phone (4a) Pro – Snapdragon 7 Gen 4 (4nm)
- Poco X8 Pro – Dimensity 8500 Ultra (4 nm)
- Vivo V70 – Snapdragon 7 Gen 4 (4nm)
- Oppo Reno15 – Snapdragon 7 Gen 4 (4nm)
- Oppo Reno14 Pro – Dimensity 8450 (4 nm)
- Honor 400 Pro – Snapdragon 8 Gen 3 (4 nm)
- Google Pixel 10 Pro XL – Tensor G5 (3 nm)
AnTuTu 3D
| Peranti | Skor |
| Samsung Galaxy A57 5G | 1,373,996 |
| Realme 16 Pro+ | 1,424,007 |
| Nothing Phone (4a) Pro | 1,408,711 |
| Poco X8 Pro | 2,086,502 |
| Vivo V70 | 1,464,284 |
| Oppo Reno15 | 1,412,018 |
| Oppo Reno14 Pro | 1,437,541 |
| Honor 400 Pro | 1,861,573 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 1,214,735 |

Geekbench 6
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Samsung Galaxy A57 5G | 1238 | 4410 |
| Realme 16 Pro+ | 1337 | 4132 |
| Nothing Phone (4a) Pro | 1282 | 3907 |
| Poco X8 Pro | 1721 | 6340 |
| Vivo V70 | 1361 | 4181 |
| Oppo Reno15 | 1280 | 3857 |
| Oppo Reno14 Pro | 1615 | 6174 |
| Honor 400 Pro | 1224 | 6083 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 2303 | 6134 |

3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Samsung Galaxy A57 5G | 1713 |
| Realme 16 Pro+ | 2108 |
| Nothing Phone (4a) Pro | 1993 |
| Poco X8 Pro | 4120 |
| Vivo X70 | 2093 |
| Oppo Reno15 | 2082 |
| Oppo Reno14 Pro | 3780 |
| Honor 400 Pro | 4467 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 2567 |

Prestasi penggunaan aplikasi lazim adalah lancar serta amat memuaskan. Tiada isu untuk memasang dan melancarkan aplikasi dengan pantas. Penggunaan LPDDR5X tahun ini menjadikan peranti terasa lebih ringan. Penggunaan storan UFS 3.1 pula walaupun bukan paling pantas masih membuatkan proses memasang aplikasi besar tidak terlalu lama. Secara keseluruhan prestasi aplikasi biasa dan permainan mudah alih pada Galaxy A57 adalah setanding dengan yang ditawarkan Realme 16 Pro+ dan Nothing Phone (4a) Pro dengan cip Snapdragon 7 Gen 4.
Kamera
Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP f/1.8 (OIS), ultra sudut lebar 12MP f/2.2, dan makro 5MP f/2.4. Ini dipadankan dengan kamera hadapan 12MP f/2.2. Kombinasi kamera yang tidak begitu membanggakan kerana lensa makro jarang sekali digunakan serta kurang praktikal. Saya lebih suka jika pengeluar sertakan hanya dua lensa (seperti Apple) yang baik berbanding tri-kamera dengan lensa ketiga yang sekadar gimik.
Prestasi kamera adalah sederhana sahaja. Imej dihasilkan nampak terang dan tajam apabila diambil menggunakan kamera sudut lebar. Sistem OIS memastikan gambar sentiasa kelihatan tajam walaupun dalam mod malam. Lensa ultra sudut lebar mengambil gambar pada kualiti lebih sederhana kerana sensor lebih kecil membuatkan imej nampak lebih lembut. Mod makro pula menghasilkan imej yang tidak begitu memuaskan.
Zum adalah digital sepenuhnya maka pada tetapan zum sehingga 5X imej terhasil mula mempunyai kesan pasca proses AI yang nampak janggal. Imej bukan sahaja kurang tajam tetapi juga nampak seakan palsu. Tiada peningkatan besar berbanding prestasi tahun lalu kerana ia adalah kombinasi kamera yang sama.








Audio
Terdapat speaker stereo dengan sokongan Dolby Atmos. Bunyi adalah lantang dan seimbang walaupun konfigurasi salah satu speaker menembak ke sisi. Sungguhpun begitu pada tetapan audio paling lantang bunyi mula sedikit berkecamuk dan bass kurang dalam. Ianya adalah bunyi speaker standard pada peranti kelas pertengahan. Sekurang-kurangnya Dolby Atmos mengelakkan audio kedengaran rata.

Bateri
Bateri 5000 mAh yang digunakan kini boleh dikategorikan sebagai sekadar sederhana kerana sudah terdapat peranti kelas pertengahan lain dengan kapasiti bateri lebih besar. Ia mampu memberikan waktu penggunaan sehingga 18 jam sehari dan SOT sehingga 8 jam.
Bateri dicas semula dengan pengecas 45W dalam masa sekitar 70 minit. Bukanlah waktu pengecasan yang terpantas sekarang tetapi nasib b baik bukan 25W yang digunakan pada peranti kelas pertengahan sebelum ini. Pengecas tidak diberikan dengan setiap pembelian peranti oleh Samsung.
Pesaing
| Samsung Galaxy A57 5G | Realme 16 Pro+ | Nothing Phone (4a) Pro |
|---|---|---|
| 6.7″ SAMOLED, 120Hz HDR10, 1900 nit | 6.8″ AMOLED, 144Hz HDR10+, 6500 nit | 6.83″ AMOLED, 144Hz HDR10+, 5000 nit |
| Exynos 1580 (4nm) 1x Cortex-A720 2.9 GHz 3x Cortex-A720 2.6 GHz 4x Cortex-A520 1.95 GHz | Snapdragon 7 Gen 4 (4nm) 1 x 2.8 GHz Cortex-720 4 x 2.4 GHz Cortex-720 3 x 1.8 GHz Cortex-520) | Snapdragon 7 Gen 4 (4nm) 1 x 2.8 GHz Cortex-720 4 x 2.4 GHz Cortex-720 3 x 1.8 GHz Cortex-520) |
| Xclipse 540 | Adreno 722 | Adreno 722 |
| 12 GB LPDDR5X | 12 GB LPDDR5X | 8/12 GB LPDDR5X |
| 256/512 GB UFS 3.1 | 512 GB UFS 3.1 | 128/256 GB UFS 3.1 |
| Kamera Utama 50 MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 12 MP, f/2.2 (Ultra Lebar) 5 MP, f/2.4 (Makro) | Kamera Utama 200MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Lebar) 50MP f/2.8, OIS (Telefoto 3.5X) | Kamera Utama 50MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Lebar) 50MP f/2.9, OIS (Telefoto 3.5X) |
| Kamera Hadapan 12 MP f/2.2 | Kamera Hadapan 50MP f/2.4 | Kamera Hadapan 32MP f/2.2 |
| IP68 | IP69K | IP65 |
| Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 5000 mAh Berwayar 45W | 7000 mAh Berwayar 80W | 5080 mAh Berwayar 50W Berbalik 7.5W |
| RM 2399 (12/256GB) RM 2699 (12/512GB) | RM 2,399 (12/512GB) | RM 2,299 (12/256GB) |
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan setiap pembelian.
- 1x Samsung Galaxy A57 5G
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.

Kesimpulan
Samsung Galaxy A57 5G ialah seperti Return of The Jedi. Majoriti rekaan dan spesifikasi adalah seperti Galaxy A56 dengan majoriti perubahan terletak pada perisian dan tubuh yang kini lebih kalis air. Kekuatannya masih terletak pada rekaan yang menarik, cip dengan prestasi memuaskan dan sokongan perisian selama 6+6 tahun yang merupakan terbaik dalam kelasnya. Jika sokongan jangka panjang penting buat anda, tiada pilihan lain lebih baik dalam kelas pertengahan pada waktu ini.

Diakui kemampuan kameranya tidak begitu membanggakan dan kapasiti bateri juga sekadar sederhana. Harga jualan kini bermula RM2399 untuk storan 256GB yang adalah RM200 lebih mahal berbanding A56 tahun lalu. Dengan krisis RAM, ini adalah peningkatan harga yang tidak begitu mengejutkan. Tetapi untuk tempoh terhad Samsung menawarkan A57 pada harga RM2047 (256GB) dan RM2199 (512GB) yang menjadikannya peranti pilihan pertengahan paling selamat.
Pro
- Rekaan yang sangat menarik dan selesa dalam tangan.
- Prestasi lancar, pantas dan memuaskan.
- Kalis air dan debu IP68
- Sokongan perisian 6+6 tahun.
- RAM lebih pantas.
- Storan lebih besar.
Kontra
- Tiada perubahan ketara prestasi kamera berbanding tahun lalu.
- Bateri agak kecil dan pengecasan perlahan berbanding pesaing.
- Kepala pengecas tidak diberikan.







