Ulasan Sennheiser Momentum 5 – Audio Dengan Momentum Yang Baik

TechnologyDigital
3 Nov 2026 • 3:53 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Ulasan Sennheiser Momentum 5 – Audio Dengan Momentum Yang Baik

Sennheiser masih mahu buktikan kehebatan mereka dalam membuat produk audio dan selepas empat tahun fon kepala Momentum 4 dilancarkan mereka meneruskan lagi legasi itu dengan kehadiran Momentum 5. Dengan hadirnya fon kepala Momentum 5 ini, adakah mereka mampu mencabar pesaing lain dalam pasaran sekarang? Saya akan jelaskan lebih lanjut dalam ulasan ini.

Image from: Ulasan Sennheiser Momentum 5 – Audio Dengan Momentum Yang Baik
Sennheiser Momentum 5
JenisFon telinga belakang tertutup
Pemandu42mm Dinamik
Mikrofon4 mikrofon
Bateri700 mAh
57 Jam ANC
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarTiada
CODECSBC, AAC, aptX, aptX HD, aptX lossless, aptX adaptive, Snapdragon Sound
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaTiada
Pad KawalanSuis kuasa
Pad Sesentuh Pada Cawan Telinga Kanan
Kemampuan kalis airTiada
Harga Jualan RM1999
Hitam, Denim, Putih

Rekaan

Jika dilihat secara kasar, rekaan pada Momentum 5 ini tidaklah jauh beza dengan Momentum 4 sebelum ini. Walaupun ini kali pertama saya menggunakan produk Sennheiser, saya agak suka dengan rekaan yang minimal ada pada Momentum dengan sedikit perubahan kecil dari Momentum 4. 

Image from: Ulasan Sennheiser Momentum 5 – Audio Dengan Momentum Yang Baik

Momentum 5 ini menggunakan bahan jenis plastik dan hanya logo Sennheiser pada hujung cekak kepala ini sahaja yang menggunakan besi. Bahagian cekak kepala pula menggunakan kain fabrik dengan span lembut dibawahnya. Saya tiada masalah dengan penggunaan bahan binaan plastik ini kerana ia membuatkan fon kepala ini terasa ringan apabila digunakan.

Span lembut pada cawan telinga ini juga menyumbang kepada keselesaan fon kepala ini kerana saya boleh memakai fon kepala ini dalam jangka masa yang agak lama secara berterusan. Daya pengapit fon kepala ini juga tidak terlalu kuat dan tidak akan menekan telinga anda. 

Image from: Ulasan Sennheiser Momentum 5 – Audio Dengan Momentum Yang Baik

Momentum 5 ini mempunyai 8 mikrofon secara keseluruhannya yang diletakkan pada cawan telinga kedua bahagian. Tiada sebarang butang fizikal pada bahagian kiri. Pada bahagian kanan terdapat butang kuasa merangkap butang untuk sambungan Bluetooth, lampu LED, USB-C dan sambungan audio 2.5mm. Luaran cawan telinga kanan ini juga mempunyai fungsi kawalan sesentuh yang bagi saya agak sensitif.

Image from: Ulasan Sennheiser Momentum 5 – Audio Dengan Momentum Yang Baik

Salah satu kelebihan pada Momentum 5 ini adalah baterinya boleh ditukar. Ini bukanlah satu kelebihan yang besar namun ini dapat menjimatkan pengguna untuk hanya menukar bateri dari membeli yang baru ketika prestasi baterinya sudah teruk.

Namun ini bukanlah ciri baharu yang ada pada sesebuah fon kepala kerana sebelum ini Fender MIX juga mempunyai ciri yang sama dan kita boleh jangkakan yang banyak lagi jenama akan ikut langkah yang sama.

Momentum 5 ini menggunakan kawalan sesentuh sepenuhnya melainkan untuk menghidupkan dan untuk sambungan melalui Bluetooth. Pada awalnya saya agak kekok kerana Ini merupakan kali pertama saya menggunakan fon kepala dengan kawalan sesentuh. Kawalannya agak mudah difahami cuma bagi saya ia agak sensitif dan saya selalu tertekan secara tidak sengaja kadang-kadang. 

Kualiti Audio

Sennheiser Momentum 5 ini menggunakan pemandu bersaiz 42mm pada setiap cawan telinganya. Ini boleh dikatakan saiz yang standard dalam pasaran fon kepala sekarang. Untuk codec audio ia menyokong beberapa codec seperti SBC, AAC, aptX, aptX HD, aptX lossless, aptX adaptive dan Snapdragon Sound. Jadi adakah Momentum 5 ini menghasilkan audio yang berkualiti tinggi?

Image from: Ulasan Sennheiser Momentum 5 – Audio Dengan Momentum Yang Baik

Kali pertama saya mendengar lagu dengan fon kepala ini, bunyi pada frekuensi tingginya agak kuat dan sedikit tajam walaupun saya perasaan yang penghasilan bass juga agak mendalam. Meskipun begitu, bunyi bass yang terhasil ini bukanlah bass yang terlalu berdentum ia hanya cukup untuk membuat anda menghentak kaki semasa mendengar lagu.

Image from: Ulasan Sennheiser Momentum 5 – Audio Dengan Momentum Yang Baik

Apa yang saya sukakan adalah bunyi frekuensi pertengahan tidak terganggu dengan bass yang terhasil dari fon kepala ini. Sebelum ini beberapa fon kepala yang saya cuba, bunyi bass sering mengganggu frekuensi tengah itu. ‘Treble’ atau frekuensi tinggi pada fon kepala ini agak tajam seperti yang saya katakan tapi ia hanya berlaku pada sesetengah lagu sahaja. Bunyi gitar di genre post hardcore sememangnya agak terasa kuat.

Image from: Ulasan Sennheiser Momentum 5 – Audio Dengan Momentum Yang Baik


Bagi saya, keseluruhan profil bunyi yang ada pada Momentum 5 ini adalah satu bunyi yang universal dan sesuai digunakan oleh semua orang. Mungkin ada yang akan perasan bass dan treble yang kuat itu namun jika anda gunakan fon kepala secara harian, perkara ini tidak akan mengganggu sangat dan susah untuk perasan. 

ANC & Mod Tembus

Kualiti mod pembatalan hingar pada Momentum 5 ini adalah yang terbaik pernah saya gunakan. Apabila dihidupkan mod ANC, bunyi persekitaran memang dikurangkan dengan ketara tapi apa yang saya suka adalah ia tiada kesan vakum seperti beberapa fon kepala yang pernah saya guna sebelum ini dan ia tidak menghasilkan bunyi ‘white noise’ apabila anda tidak memainkan apa-apa lagu.

Image from: Ulasan Sennheiser Momentum 5 – Audio Dengan Momentum Yang Baik

Saya boleh kata perkara yang sama untuk mod tembus yang ada pada Momentum 5. Fon kepala ini menggunakan empat mikrofon yang terbina pada cawan telinganya untuk meningkatkan bunyi persekitaran. Suara juga kedengaran agak natural tanpa terlalu diproses. Bunyi yang hampir sama juga anda akan dengar apabila menghidupkan mod tembus dan menanggalkan fon kepala ini.

Aplikasi – Sennheiser Smart Control+

Sennheiser Momentum 5 ini juga datang dengan aplikasi sendiri untuk mengawal fon kepala ini dengan lebih mudah dan mendalam. Secara dasarnya, aplikasi Smart Control Plus ini kelihatan sangat kemas dan mudah digunakan. Ini sangat bagus untuk pengguna produk Sennheiser kali pertama. Anda boleh melihat beberapa info penting seperti kapasiti bateri dan peranti yang disambungkan dengan fon kepala ini secara terus.

Image from: Ulasan Sennheiser Momentum 5 – Audio Dengan Momentum Yang Baik

Mungkin apa yang saya kurang sedikit pada aplikasi ini adalah kebolehan untuk EQ tidak terlalu terperinci. Jangan salah faham, anda boleh mengubah tetapan EQ mengikut kesukaan anda atau gunakan sahaja beberapa pratetapan yang disediakan. Melalui 8-band EQ saya sukar untuk ubah tetapan yang betul-betul tepat pada satu frekuensi sahaja. Namun seperti yang saya katakan, perkara ini tidak terpakai untuk majoriti pengguna lain kerana bunyi dari fon kepala ini sahaja sudah cukup baik.

Bateri

Bateri yang ada pada Momentum 5 ini adalah sebesar 700 mAh dan mengikut apa yang Sennheiser katakan ia mampu bertahan sehingga 57 jam untuk memainkan muzik dengan ANC. Ini adalah ketahanan bateri yang baik dan jika anda beli fon kepala ini ia boleh digunakan dalam jangka masa yang lama kerana mempunyai ciri untuk tukar baterinya jika sudah rosak.

Image from: Ulasan Sennheiser Momentum 5 – Audio Dengan Momentum Yang Baik

Saya boleh gunakan fon kepala ini selama 2 minggu secara terus tanpa mengecas dengan kapasiti bateri masih berbaki 10%. Ketahanan bateri ini mungkin boleh dipanjangkan lagi mengikut corak penggunaan yang lebih santai seperti tidak selalu menggunakan ANC atau mod tembus dengan kerap.

Apa Dalam Kotak

  • 1x Sennheiser Momentum 5.
  • 1x Bekas Simpanan.
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Kabel audio 2.5mm ke 3.5mm.
  • 1x Manual.
  • 1x Kad jaminan.
Image from: Ulasan Sennheiser Momentum 5 – Audio Dengan Momentum Yang Baik

Kesimpulan

Sennheiser Momentum 5 adalah fon kepala premium yang baik pernah saya ulas setakat ini. Anda akan mendapat rekaan yang masih lagi nampak kemas dan minimalis, kualiti bunyi yang cukup baik untuk majoriti pengguna ditambah dengan prestasi ANC dan mod tembus yang cukup baik. Ketahanan bateri juga baik dengan kebolehan untuk menukar bateri pada masa akan datang. 

Image from: Ulasan Sennheiser Momentum 5 – Audio Dengan Momentum Yang Baik

Harga RM1999 sebenarnya harga yang kompetitif dengan pesaingnya seperti Sony WH-1000XM6 dan Apple Airpods Max 2. Untuk prestasi yang diberikan, Sennheiser Momentum 5 ini boleh diberikan perhatian juga untuk peminat audio dan fon kepala.

Pro

  • Rekaan minimal dengan warna cantik.
  • Sangat selesa di kepala dan ringan.
  • Bateri tahan lama.
  • Kualiti audio yang baik dan boleh diterima.
  • Prestasi ANC dan mod tembus yang baik.
  • Bateri boleh ditukar.

Kontra

  • Tidak boleh dilipat.
  • EQ kurang terperinci.
Image from: Ulasan Sennheiser Momentum 5 – Audio Dengan Momentum Yang Baik
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved