Ulasan Xiaomi MIX Fold 3 – Leica Yang Boleh-Lipat

TechnologyDigital
20 Sep 2023 • 5:48 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Mulakan pengenalan ulasan dengan drama pendek daripada dua orang rakan sekerja yang bertanya adakah ini peranti ini nipis dan ringan pernah saya pegang? Secara berseloroh saya menjawab ia boleh dikatakan antara peranti yang nipis tetapi bukan paling ringan yang pernah dipegang. Secara peribadi Huawei Mate X3 dan Honor Magic V2 merupakan peranti dengan skrin boleh lipat paling ringan pernah saya pegang.

Pun begitu saya masih berpuas hati dengan peranti boleh lipat generasi ketiga Xiaomi ini dan pujian perlu diberikan untuk penambahbaikan yang telah dilakukan. Berikut saya kongsikan pengalaman menggunakan Xiaomi MIX Fold 3 sebagai peranti harian untuk masa yang singkat.


Spesifikasi

Xiaomi MIX Fold 3
SkrinLuar – 6.56″ AMOLED 1080 x 2520 piksel,
120Hz, Dolby Vision
Dalam – 8.03″ LTPO OLED+ 1916 x 2160 piksel,
120Hz, Dolby Vision
PemprosesSnapdragon 8 Gen 2 Leading Edition (4nm)
Cip1x 3.36 GHz Cortex-X3
2x 2.8 GHz Cortex-A715
2x 2.8 GHz Cortex-A710
3x 2.0 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 740
RAM12/16 Gigabyte LPDDR5X
Muatan Dalaman256/512/1000 GB UFS 4.0
Kamera Utama50 MP, f/1.77, OIS (Sudut Lebar)
12 MP, f/2.2 (Ultra Sudut lebar)
10 MP, f/2.0 (Telefoto) 3.2x Zum Optical
10 MP, f/2.92 (Telefoto)
Leica
Kamera Depan20 Megapixel f/2.3
Bateri4800 mAh
Pengecasan berwayar 67W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano /5G
NFCYa
Infra MerahTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanCap jari di sisi
Harga JualanRM5631* (12/256 GB)
RM6257* (16/512 GB)
RM6883* (16/1000 GB)
*= mata wang asing

Rekabentuk Dan Skrin

Di sini Xiaomi masih mengekalkan rekaan skrin boleh-lipat seumpama buku sama seperti dua generasi sebelum ini. Ia boleh dibuka untuk paparan skrin dalam sebesar 8.03-inci LTPO OLED yang tidak jauh bezanya dengan saiz 8.02-inci yang digunakan pada Mix Fold 2. Saiz skrin sekunder bagaimanapun masih dikekalkan pada 6.56-inci AMOLED tanpa panel LTPO dan bernisbah 21:9 yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai perkara.

image is not available

Saiz bezel boleh dikatakan nipis pada kedua-dua skrin yang juga menyokong kadar segar semula adaptif dengan tiga pilihan tersedia menerusi ruang tetapan yang merangkumi automatik, 60Hz atau 120Hz. Turut disokong pada skrin adalah ciri Dolby Vision yang membolehkan pengalaman tontonan lebih baik dapat dinikmati dengan warna yang benar-benar menonjol. Sebagai pilihannya lagi pengguna turut diberi beberapa pilihan penuras terbina termasuklah Nostalgic dan B&W yang boleh ditemui menerusi ciri Video toolbox terbina.

image is not available

Seterusnya engsel peranti turut diperkemaskan dengan saiz 17% lebih kecil berbanding sebelum ini. Dalam masa sama turut menyokong kebolehan membuka skrin di pelbagai sudut mencapai 145 darjah. Ini sekaligus membolehkan Xiaomi MIX Fold 3 digunakan dalam Hover Mode, yang dalam bahasa mudahnya ciri Flex Mode versi Xiaomi untuk beberapa perkara seperti aplikasi kamera atau main balik video di YouTube.

image is not available

Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan peranti. Turut disokong adalah imbasan cap jari sisi yang terbina pada butang kuasa. Prestasi adalah memuaskan dengan kebolehan menyahkunci peranti dalam masa yang singkat. Seterusnya sisi bertentangan pula menempatkan ruang slot SIM tanpa kebolehan kad mikro SD.

image is not available

Sebagai pelengkapnya lagi adalah pembesar suara stereo, dengan satu kekisi audio pada bahagian atas skrin. Sementara itu sebuah lagi kekisi menghala ke bawah yang diletakkan bersama sambungan port USB-C. Audio dirasakan kurang seimbang dengan lontaran menerusi pembesar suara bawah lebih baik kerana kekisi yang besar. Namun menilai secara umum pula prestasi pembesar suara pada peranti ini masih di tahap yang memuaskan dengan lontaran audio cukup jelas.


Pengalaman Penggunaan

Secara peribadi saya lebih suka menggunakan telefon ini dengan skrin terbuka berbanding dilipat, khususnya sewaktu membalas mesej atau bermain pemua. Pengalaman membuka dan menutup peranti juga terasa baik tanpa bunyi yang aneh. Menurut Xiaomi juga peranti boleh berfungsi dengan baik sehingga 500,000 kali lipatan keseluruhannya.

Kalau diikutkan tiada masalah untuk menggunakan skrin luar, tetapi rasanya lebih puas apabila skrin ini dibuka. Terjadinya keadaan disebabkan oleh nisbah skrin hadapan yang terlalu tinggi menjadikan sesuatu laman nampak terlalu memanjang, dalam masa sama proses menaip juga terasa janggal.

image is not available

Meskipun begitu pujian perlu saya berikan untuk persembahan visual peranti ini yang keseluruhannya benar-benar cantik. Butiran cukup jelas bersama olahan warna yang juga bermaya dengan warna hitam yang benar-benar gelap.Selain daripada itu pengalaman menatal juga terasa lancar pada tetapan skrin 120Hz.

Cumanya apabila jari mula menyentuh bahagian tengah masih ada lekuk yang wujud, tetapi boleh saya anggap hal yang biasa untuk segmen peranti sebegini. Kemudian Netflix yang dimuat-turun secara sideload juga boleh dimainkan pada FHD, serta YouTube pula memainkan HDR dengan baik.

image is not available

Namun malangnya secara perlahan-lahan kelemahan juga perlu saya katakan di sini. Buat pengetahuan semua peranti ini langsung tidak diberikan kemampuan kalis air, sekaligus boleh dianggap sesuatu yang amat mengecewakan. Hal ini dikatakan demikian kerana ia menjadi ciri terpenting yang menjadi tumpuan sejumlah pengeluar besar seperti Samsung dan Huawei. Sekaligus memberi nilai tambahan menarik pada peranti khususnya untuk penggunaan jangka masa panjang.

image is not available

Kelemahan seterusnya terletak pada tiadanya sokongan stylus terbina yang mungkin bukanlah ralat pada sesetengah pengguna. Namun secara peribadi saya melihat perkara ini serius dan cukup merugikan kepada peranti ini sendiri yang secara umumnya sedia menarik dalam beberapa aspek. Apapun harapan saya yang penting generasi baharu telefon skrin boleh lipat Xiaomi boleh menyokong stylus.


Perisian Dan Penanda Aras

Peningkatan seterusnya sudah tentulah di bahagian prestasi. Melaluinya cip Snapdragon 8 Gen 2 digunakan, yang juga dilengkapi memori sebesar 12GB RAM berasaskan LPDDR5 dan storan dalaman 256GB. Tiada sokongan kad mikroSD diberikan namun peranti sedia menyokong ciri Memory Extention dengan pilihan penambahan memori sebesar mencapai 7GB RAM secara maya. Ini sekaligus menjadikan peranti mempunyai sehingga 19GB RAM bagi membolehkan lebih banyak aplikasi dilancarkan serentak.

image is not available

Perkara ini sebenarnya boleh dibuktikan menerusi pengalaman penggunaan saya dalam dunia nyata. Meskipun agak singkat, namun secara umumnya saya amat berpuas hari dengan prestasi telefon Xiaomi ini. Tiada masalah kronik ditemui dalam penggunaan harian saya, termasuklah untuk proses proses muat-turun serta membuka aplikasi yang dilihat tidak mengambil masa yang lama. Dalam pada itu masalah peranti atau aplikasi yang gagal berfungsi juga langsung tidak berlaku.

AnTuTu 3D

  • Xiaomi MIX Fold 3 – 1,511,456
  • Samsung Galaxy Z Fold5 – 1,597,608
  • OnePlus 11 – 1,248,004
  • Xperia 1 V – 1,234,059

Geekbench 6

  • Xiaomi MIX Fold 3 – 1912/5111
  • Samsung Galaxy Z Fold5 – 1948/5373
  • OnePlus 11 –  1204/4366
  • Xperia 1 V –  1902/5244

3DMark Wild Life Extreme

  • Xiaomi MIX Fold 3 – Tidak boleh diuji
  • Samsung Galaxy Z Fold5 – 2929
  • OnePlus 11 – 3,682
  • Xperia 1 V – 3,599

image is not available

Lebih menyeronokkan lagi apabila pelbagai permua turut boleh dimainkan dengan kualiti grafik yang memuaskan. Ia bukan sahaja memberi pengalaman yang lancar malahan juga lancar sepanjang sesi permainan. Berkongsi pula mengenai suhu sebenarnya peranti sememangnya terasa panas untuk sesi permainan yang panjang tetapi tidaklah sehingga langsung tidak selesa dipegang. Isu haba melampau hanya berlaku sewaktu ujian penanda aras sedang dijalankan yang boleh menyebabkan munculnya pemberitahuan menyatakan peranti boleh digunakan seperti biasa selepas suhu menurun.

image is not available

Beralih ke perisian pula Xiaomi MIX Fold 3 menjalankan MIUI 14 berasaskan Android 13, yang mana secara khususnya adalah MIUI Fold 14 yang dioptimasikan untuk skrin boleh lipat. MIUI versi China yang digunakan juga menjadikan peranti secara umumnya berfungsi cukup baik dengan pengalaman yang amat lancar, pantas dan seronok digunakan berbanding MIUI versi Global.

image is not available

Gabungan ikon yang minimalis dan ceria juga telah memberi nilai tambah pada peranti ini sendiri. Dalam masa sama tetapan khusus turut mengumpulkan pelbagai fungsi dan ciri menarik dalam satu tempat seperti Floating Windows, After Folding, Wallpapers for Foldable Devices, Game Layouts dan lain-lain.


Kamera Dan Kualiti Gambar

Sistem kamera yang digunakan terdiri dengan lensa sudut lebar, ultra sudut lebar, telefoto dan telefoto periskop, yang juga menyokong OIS terbina. Pilihan tangkapan gambar pula boleh diambil pada nisbah 1:1, 4:3, 16:9 dan penuh. Kebolehan zum adalah sehingga 5X optikal dan 50X digital.

image is not available

Rakaman video maksimum pula boleh dirakam sehingga 8K/24FPS dengan dua penstabilan terbina sama ada standard atau pro. Kemudiannya diikuti pula dengan fungsi menarik terbina yang turut membolehkan kamera digunakan sebagai teleprompter mudah alih. Ia bukan sahaja boleh memaparkan skrip pada skrin, malahan turut boleh diubah saiz tulisan serta kelajuan tempoh masa pergerakan.

image is not available

Di sini saya sertakan beberapa hasil gambar yang diambil menggunakan peranti untuk tatapan bersama. Kebanyakan gambar yang diambil menunjukkan hasil yang amat baik sekali. Gambar yang diambil amat tajam, dengan fokus yang baik. HDR yang terang dan butiran terpelihara.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

Dalam masa sama kamera juga mampu melakukan kerja yang baik dalam usaha mengimbangi kontras melampau dalam sumber cahaya terang. Meskipun begitu saya sedari perubahan tona warna boleh dilihat bagi gambar yang diambil oleh Leica Vibrant Mode yang nampak lebih semula jadi, sementara itu Leica Autentic Mode pula menjadikan warna sedikit tepu.

image is not available
Leica Vibrant Mode

image is not available
Leica Autentic Mode

Hal yang sama terjadi apabila digunakan dengan mod malam, yang mana sesetengah kawasan menjadi lebih gelap berbanding biasa. Kelemahan ini diteruskan lagi dengan hasil gambar malam yang sebenarnya tidaklah setajam seperti gambar yang diambil pada waktu pencahayaan terang.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

Kelemahan lain terletak pada mod potret yang dilihat memberi hasil kurang kemas, namun mod Leica masih cuba membaikinya meskipun tidak sempurna. Seterusnya perlu juga dikongsi bahawa kamera telefoto pula mampu menawarkan hasil gambar nampak tajam sehingga 30X dan selebihnya gambar akan mula menjadi lembut.

image is not available

image is not available


Ketahanan Bateri

Bateri sebesar 4,800mAh yang digunakan mungkin bukanlah paling besar untuk segmen peranti sebegini. Namun masih boleh memadai untuk kegunaan sepanjang hari. Ketahanan ini bagaimanapun masih bergantung pada cara penggunaan masing-masing. Misalnya pengalaman saya dengan skrin 120Hz diaktifkan sepanjang masa telefon ini boleh bertahan mencapai 15 hingga 18 jam bagi penggunaan biasa. Namun ia menurun di antara 8 hingga 10 jam pula untuk penggunaan yang kerap.

image is not available

Sistem pengecasan pula sekadar 67W yang bukanlah yang terpaling pantas, namun masih memadai dengan masa pengecasan sepenuhnya di antara 40 hingga 50 minit. Kepala pengecas juga diberikan secara langsung di dalam kotak, sekaligus memudahkan serta menjimatkan pengguna. Namun faktor lain yang menjadi salah satu tarikan besar adalah sokongan pengecasan nirwayar dengan kuasa output 50W. Namun saya tidak pula berkesempatan mencubanya secara khusus.


Peranti Pesaing

Xiaomi MIX Fold 3Samsung Galaxy Z Fold5Honor Magic V2
Luar – 6.56″ AMOLED 1
120Hz, Dolby Vision

Dalam – 8.03″ LTPO OLED+
120Hz, Dolby Vision
Luar – 6.2″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz

Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+
Luar – 6.43″ OLED, 120Hz

Dalam – 7.92″ OLED 120Hz, HDR10+
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1 X 3.36 GHz Cortex-X32
2 X 2.8 GHz Cortex-A715
2 X 2.75 GHz Cortex-A710
3 X 2.00 GHz Cortex-A510
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1 X 3.36 GHz Cortex-X32
2 X 2.8 GHz Cortex-A715
2 X 2.75 GHz Cortex-A710
3 X 2.00 GHz Cortex-A510
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1 X 3.36 GHz Cortex-X32
2 X 2.8 GHz Cortex-A715
2 X 2.75 GHz Cortex-A710
3 X 2.00 GHz Cortex-A510
Adreno 740Adreno 740Adreno 740
12/16GB LPDDR5X
7GB Extended RAM
12GB LPDDR5X
8GB RAM Plus
16GB LPDRR5
8GB RAM Extended
256/512/1000 GB UFS 4.0256/512/1000 GB UFS 4.0256/512GB/1TB UFS 3.1
Kamera Utama
50 MP, f/1.77, OIS (Sudut Lebar)
12 MP, f/2.2 (Ultra Sudut lebar)
10 MP, f/2.0 (Telefoto) 3.2x Zum Optical
10 MP, f/2.92 (Telefoto)
Leica
Kamera Utama
50mp f/1.8 OIS, (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
10MP, OIS, f/2.4 3x Zum Optikal (Telefoto)
Kamera Utama
50 MP, f/1.9, OIS (Sudut Lebar)
50 MP, f/2.0 (Ultra Sudut lebar)
20 MP, f/2.4, OIS (Telefoto), 40X digital zum
Kamera Hadapan
20 MP f/2.3 (Luar)
20 MP f/2.3 (Dalam)
Kamera Hadapan
10MP f/2.2 (Luar)
4MP f/1.8 UDC (Dalam)
Kamera Hadapan
16 MP f/2.45 (Luar)
16 MP f/2.45 (Dalam)
Tidak kalis airTidak kalis airTiada kalis air
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio MonoAudio StereoAudio Stereo
4,800 mAh
Pengecasan berwayar 67W
Pengecasan nirwayar 50W
Tiada berbalik
4,400 mAh
Pengecasan berwayar 25W
Pengecasan nirwayar 11W
Pengecasan berbalik 4.5W
5,000 mAh
Pengecasan berwayar 66W
Tiada nirwayar
Tiada berbalik
RM5631* (12/256 GB)
RM6257* (16/512 GB)
RM6883* (16/1000 GB)
*tukaran wang asing
RM 6,799 (12/256GB)
RM 7,299 (12/512GB)
RM 8,299 (12/1TB)
RM4798* (8/256 GB)
RM5118* (12/256 GB)
RM5758* (12/512 GB)
*tukaran wang asing

Apa Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di China.

  • 1x Xiaomi MIX Fold 3.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Pengecas 67W.
  • 1x Manual Pengguna.
  • 1x Kerangka Keras.
  • 1x Pin SIM.


Kesimpulan

Secara keseluruhan dan kesimpulannya boleh dikatakan bahawa Xiaomi MIX Fold 3 adalah peranti yang hampir sempurna selepas Huawei Mate X3. Meletakkan diri yang masih kurang pengalaman dalam membuat ulasan untuk peranti sebegini membuatkan saya masih belum mampu mengklasifikasikan mana satu yang sempurna buat masa ini. Namun kesemua penambahbaikan yang diberikan Xiaomi untuk kali ini sepenuhnya menarik, lalu berjaya membuatkan saya juga berpuas hati dengannya.

image is not available

Hal berkenaan juga jelas menunjukkan Xiaomi benar-benar komited dalam usaha menyediakan sesuatu yang boleh dijadikan alternatif menarik oleh para pengguna hari ini. Cumanya sejumlah isu seperti tiada kalis air dan sokongan stylus terbina mungkin boleh menjadi antara ciri tambahan baharu untuk peranti mendatang. Hampir sempurna macam manapun, sayang seribu kali sayang peranti ini tidak ditawarkan secara rasmi di Malaysia.


PRO

  • Rekaan serba serbi kemas.
  • Kuad-kamera dengan lensa Leica.
  • Persembahan visual cantik dan memuaskan.
  • Prestasi memuaskan tanpa isu kronik.
  • Lipatan masih ada namun tidak jelas.

KONTRA

  • Kamera ada masalah autofokus tidak konsisten.
  • Masalah memanas berlaku, khusus sewaktu ujian penanda aras.
  • MIUI for Fold tidak cukup matang untuk telefon lipat.
  • Tidak dijual di Malaysia.
  • Tidak kalis air.

image is not available