
PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) akan melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara hibrid bermula Isnin ini sebagai langkah berjaga-jaga susulan keadaan jerebu yang melanda negara.
Naib Canselor UM, Datuk Seri Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, keputusan itu merupakan langkah proaktif universiti dalam mengutamakan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan warga kampus, khususnya pelajar serta staf, selain memastikan aktiviti akademik dapat diteruskan dengan teratur.
“Kesihatan dan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan kami. Dalam keadaan jerebu ketika ini, adalah penting untuk universiti mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan risiko terhadap kesihatan tanpa menjejaskan peluang pelajar meneruskan pembelajaran.
“Pelaksanaan PdP secara hibrid membolehkan aktiviti akademik diteruskan dengan lebih fleksibel, mengambil kira keadaan semasa dan keperluan pelajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak universiti turut menyarankan supaya aktiviti luar bangunan ditangguhkan buat sementara waktu bagi mengurangkan risiko pendedahan kepada jerebu.
Katanya, bagi aktiviti yang perlu diteruskan, penilaian risiko dan langkah kawalan bersesuaian hendaklah dilaksanakan berdasarkan keadaan semasa, manakala aktiviti dalam bangunan turut digalakkan bagi mengurangkan pendedahan kepada pencemaran udara.
“Warga kampus juga dinasihatkan agar sentiasa mengambil langkah penjagaan kesihatan sewajarnya, termasuk mengurangkan aktiviti luar bangunan dan memakai pelitup muka jenis N95 apabila berada di luar, khususnya sekiranya kualiti udara merosot.
“Universiti akan terus memantau perkembangan keadaan jerebu dan menilai keberkesanan langkah yang dilaksanakan secara berkala bagi memastikan setiap keputusan mengambil kira kepentingan serta kebajikan warga kampus.
“Sebarang perubahan atau arahan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran komunikasi rasmi UM,” katanya. –UTUSAN
The post UM laksana pembelajaran hibrid mulai Isnin susulan jerebu appeared first on Utusan Malaysia.






