Jerebu: Selangor, JPNS bincang langkah keselamatan esok

LocalEnvironment
8 Oct 2026 • 2:57 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jerebu: Selangor, JPNS bincang langkah keselamatan esok

SHAH ALAM – Langkah keselamatan membabitkan pelajar sekolah susulan ancaman jerebu yang semakin buruk akan dibincangkan kerajaan negeri bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, laporan Indeks pencemaran udara (IPU) terkini sedang didapatkan sebelum sebarang keputusan dibuat secara bersama.

“Bagaimanapun, kita (kerajaan) memang sudah ada piawaian bagi langkah keselamatan ketika jerebu, iaitu jika bacaan IPU melebihi 200, akan tutup sekolah. Namun, itu bidang kuasa Jabatan Pendidikan Negeri.

“Saya sudah meminta supaya dimaklumkan segera dan kerajaan negeri juga boleh aturkan (tindakan sokongan),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Madani – Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) di sini, hari ini.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan sebanyak 33 kawasan di seluruh negara merekodkan IPU pada tahap tidak sihat setakat pukul 11.09 pagi ini, dengan 11 daripadanya menghampiri bacaan 200.

Di Selangor, Johan Setia, merekodkan bacaan IPU 178, Shah Alam (170), Klang dan Banting (167) dan Kuala Selangor (155).

Dalam perkembangan berlainan, Amirudin berkata, kesemua empangan air berada di tahap stabil dan mampu membekalkan air antara tiga hingga sembilan bulan dalam menghadapi fenomena El-Nino.

“Pertengahan bulan ini akan berlaku peralihan monsun, jadi akan bermulalah musim hujan. Sedikit sebanyak yang lebih mendebarkan sebenarnya adalah pada sekitar bulan Februari hingga April tahun depan sebab fenomena ‘Super El-Nino akan berpanjangan hingga April

“Jadi tempoh itu perlu lebih pemerhatian dan penelitian,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

The post Jerebu: Selangor, JPNS bincang langkah keselamatan esok appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved