Jerebu: Selangor sedia agih pelitup muka ke sekolah

LocalEnvironment
8 Oct 2026 • 1:37 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Jerebu: Selangor sedia agih pelitup muka ke sekolah

SHAH ALAM, 8 OKT: Selangor bersedia mengagihkan pelitup muka kepada sekolah di negeri ini sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk dan berisiko menjejaskan kesihatan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri kini menunggu laporan terakhir Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi mendapatkan gambaran mengenai keadaan cuaca dan jerebu dalam tempoh akan datang sebelum menentukan langkah susulan.

“Kita bincang beberapa minggu lepas dan saya sedang tunggu laporan terakhir Meteorologi untuk lihat berapa lama lagi unjurannya.

“Kita ada cadangan untuk bantu ke sekolah-sekolah pembelian pelitup muka dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Jelajah Sejahtera Madani-Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0 di sini, hari ini.

Image from: Jerebu: Selangor sedia agih pelitup muka ke sekolah
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap sempena program Jelajah Sejahtera Madani-Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Selangor (SITC) pada 8 Oktober 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Amirudin berkata, perbincangan lanjut bersama Jabatan Pendidikan Negeri akan dibuat dalam tempoh terdekat bagi menentukan tindakan susulan.

“Kita tengok satu dua hari ini macam mana keadaannya, sebab sekolah akan habis sekitar bulan 11 sebelum SPM. Saya akan jumpa dengan Jabatan Pendidikan (Negeri)dalam tempoh terdekat kalau tidak hari ini, esok untuk kita lihat apa langkah susulan segera yang boleh kita buat.

“Tindakan penutupan sekolah juga boleh dibuat apabila bacaan pencemaran udara mencapai paras 200. Kita sudah ada standard atau piawainya. Maknanya kalau sampai 200 kita akan tutup, itu kuasa Jabatan Pendidikan,” katanya.

Setakat jam 1 tengah hari tadi, sebanyak 38 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Segamat, Johor mencatat bacaan tertinggi iaitu 189, diikuti Nilai dan Seremban, Negeri Sembilan masing-masing 184.

Image from: Jerebu: Selangor sedia agih pelitup muka ke sekolah
Jarak penglihatan berkurangan susulan keadaan jerebu di Johan Setia, Selangor. - Foto BERNAMA

Di Selangor, enam kawasan mencatat bacaan IPU tidak sihat membabitkan Johan Setia, Shah Alam, Banting, Klang dan Kuala Selangor.

Sementara itu, semua sekolah di Johor ditutup hari ini dan esok susulan keadaan jerebu serta kemerosotan kualiti udara di seluruh negeri itu.

Mengikut klasifikasi IPU, bacaan antara 51 hingga 100 dikategorikan sebagai sederhana, 101 hingga 200 sebagai tidak sihat, manakala 201 hingga 300 berada pada tahap sangat tidak sihat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved