Umat Islam wajib keluar mengundi - Abdul Hadi

LocalPolitics
29 Jun 2026 • 12:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Umat Islam wajib keluar mengundi - Abdul Hadi
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang

SHAH ALAM - Umat Islam wajib keluar mengundi dalam pilihan raya kerana ia merupakan tuntutan agama bagi memilih pemimpin yang akan mentadbir negara.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, amalan demokrasi yang memilih kerajaan melalui pilihan raya menjadikan proses mengundi sebagai mekanisme untuk menunaikan kewajipan politik Islam dalam memilih pemimpin.

Menurut beliau, kuasa memerintah merupakan sebahagian daripada tanggungjawab politik Islam yang bertujuan menegakkan pemerintahan, melaksanakan amanah serta menegakkan keadilan menurut syariat.

"Keluar mengundi dalam amalan demokrasi adalah menunaikan kewajipan memilih pemimpin di tempat masing-masing.

"Para ulama menegaskan, apa-apa yang tidak dapat disempurnakan yang wajib melainkan dengannya, maka hukumnya wajib," katanya menerusi kenyataan Minda Presiden Pas pada Isnin.

Abdul Hadi berkata, kewajipan keluar mengundi menjadi lebih besar apabila melibatkan keadaan yang boleh memberi ruang kepada pihak yang disifatkan mengancam kedudukan Islam dan umat Islam untuk memperoleh kuasa.

Beliau berkata, politik tidak boleh dipisahkan daripada agama kerana pentadbiran negara dan pelaksanaan hukum yang adil merupakan sebahagian daripada ajaran Islam.

Menurutnya, tanggapan bahawa politik adalah kotor berpunca daripada kejahilan terhadap agama dan pengaruh fahaman sekularisme yang memisahkan urusan pemerintahan daripada agama.

"Ramai yang tidak keluar mengundi atau menjual undi sehingga kuasa Islam dirampas. Ada yang berebut jawatan sehingga berpecah-belah yang membawa kelemahan.

"Keluar mengundi juga bertujuan menghantar wakil bagi menjalankan kewajipan amar makruf dan nahi mungkar. Sekiranya tidak ditunaikan, umat boleh ditimpa bala yang besar," katanya.

Beliau berkata, Islam mewajibkan keadilan kepada seluruh masyarakat termasuk bukan Islam yang tidak bersikap ekstrem, namun kepimpinan negara perlu dipandu oleh nilai keimanan kepada Allah dan tanggungjawab terhadap agama.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam agar tidak mengabaikan tanggungjawab mengundi serta bersatu memilih pemimpin yang diyakini mampu mempertahankan agama, bangsa dan negara.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved