“Umi Tunggu Di Sini…” – Lebih Sehari Hilang, Adik Zarif Masih Belum Ditemui di Batu Rakit

11 Jan 2026 • 1:54 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

BATU RAKIT – Sudah lebih sehari berlalu, namun kelibat kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, Muhammad Zarif Mohd Hazahari yang dikhuatiri lemas di Pantai Sauh, Batu Rakit masih belum ditemui.

Pihak berkuasa terus bertungkus lumus meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan beberapa agensi, meskipun berdepan keadaan ombak besar serta arus laut yang kuat.

Penduduk setempat turut berganding bahu dengan mendirikan solat hajat beramai-ramai, memohon agar usaha pencarian dipermudahkan dan adik Zarif segera ditemui. Dalam suasana penuh pilu itu, keluarga mangsa hanya mampu berserah sepenuhnya kepada ketentuan Allah SWT.

Sementara itu, sebuah video yang dikongsi di TikTok oleh pengguna @nora_cpot turut mengundang perhatian ramai. Video berkenaan memaparkan ibu kepada adik Zarif yang setia menantikan khabar mengenai anaknya, sekali gus mengundang rasa sebak dalam kalangan netizen.

Menerusi kapsyen yang meruntun hati, wanita itu menulis,

“Zarif… baliklah nak… umi tunggu di sini…”

disertakan emoji tangisan, sehingga menyentuh perasaan ramai pengguna media sosial.

Ibu Harap Anak Ditemui Walau Apa Jua Keadaan

Memetik laporan Kosmo!, ibu mangsa, Siti Hajar Ismail, 42, meluahkan harapan agar jasad anaknya dapat ditemui segera, tidak kira sama ada masih hidup atau sebaliknya.

“Sewaktu kejadian, anak saya, Muhammad Zarif bersama kakaknya dan dua sepupu lelaki mengikut ibu saudara mereka, Siti Nurul Aina Sahirah Ismail, 31, untuk ambil angin di tepi pantai.

“Tak sangka jadi begini. Saya terus bergegas ke lokasi kejadian dari rumah di Kampung Batu Rakit berhampiran sebaik mengetahui musibah tersebut,” katanya ketika ditemui di Pantai Sauh.

Turut berada di lokasi ialah nenek mangsa, Khatijah Yusof, 65, yang dilihat tidak putus-putus membaca al-Quran sambil berdoa agar cucu kesayangannya ditemukan.

Saksi Gagal Selamatkan Mangsa Akibat Ombak Besar

Dalam pada itu, Berita Harian melaporkan seorang saksi kejadian, nelayan Muhammad Hafidz Mokhtar, 34, berkata dia melihat sendiri mangsa terkapai-kapai sebelum dihanyutkan arus deras.

“Tangan mangsa dilihat terkapai-kapai sebelum hanyut dibawa arus. Saya terkilan gagal selamatkannya, dia lemas di depan mata,” katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang semalam ketika mangsa bersama ibu saudara dan empat kanak-kanak lain dikatakan pergi ke gigi air untuk mencuci kaki sebelum dipukul ombak besar.

Muhammad Hafidz berkata, dia bersama dua rakan cuba membantu dengan mengikat tali pada badan sebelum masuk ke laut, namun terpaksa berpatah balik selepas hampir lemas akibat ombak kuat dan pasir masuk ke dalam mulut serta hidung.

“Ketika itu mangsa berada kira-kira 50 meter sahaja dari saya, tetapi ombak besar menghalang saya untuk sampai kepadanya. Dalam tempoh lima minit, saya nampak dia terapung dan dihanyutkan arus ke arah barat menuju Merang, Setiu,” jelasnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bermain air dan berada jauh dari pantai terutama ketika Monsun Timur Laut (MTL), meskipun kawasan tersebut sering dikunjungi penduduk setempat.

Doa dan Suara Rakyat

Di ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sebak dan simpati mendalam terhadap nasib yang menimpa keluarga mangsa. Ada yang mengakui insiden tersebut meninggalkan kesan emosi, khususnya kepada ibu saudara mangsa yang membawa kanak-kanak itu ke pantai, sambil menyifatkan kejadian tersebut sebagai ujian berat meskipun sudah tertulis sebagai qada dan qadar.

Tidak kurang juga yang menzahirkan doa penuh emosi, memohon agar laut kembali tenang dan adik Zarif dipulangkan kepada keluarganya dengan izin Allah SWT, selain menitipkan harapan agar hati seorang umi yang sedang menanti diberikan kekuatan.

Sebahagian netizen turut berkongsi pengalaman terdahulu melibatkan kes lemas, dengan menyarankan agar pencarian diteruskan mengikut laluan arus laut dan kawasan pantai berhampiran, memandangkan ada kes mangsa ditemui jauh dari lokasi kejadian asal.

Perkongsian itu turut mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial, dengan ramai mendoakan agar usaha pencarian dipermudahkan dan keluarga mangsa diberikan ketabahan menghadapi ujian ini.

Sehingga kini, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan, sementara seluruh rakyat Malaysia terus menadah tangan berdoa agar adik Zarif segera ditemui dan keluarga diberi kekuatan serta ketenangan.

Info Terkini

Operasi pencarian Muhammad Zarif Mohd Hazahari, 4, berakhir apabila mayat kanak-kanak itu ditemui kira-kira jam 3 pagi tadi. Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Azli Mohd Noor berkata, jasad anak kelima daripada enam beradik itu ditemui terdampar di pantai oleh pasukan penyelamat bersama penduduk setempat, kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian.

“Kanak-kanak mangsa lemas telah ditemui lebih kurang enam kilometer dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Menurut beliau, kejadian berlaku sekitar jam 6 petang Jumaat lalu apabila mangsa dihanyutkan ombak besar ketika berada di Pantai Sauh, Batu Rakit bersama ibu saudaranya serta empat lagi kanak-kanak lain untuk bersiar-siar dan melihat ombak. Mayat mangsa kemudian ditemui di Pantai Pengkalan Atap.

Azli turut memaklumkan bahawa jasad Muhammad Zarif telah dikenal pasti oleh ahli keluarga sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut. – The Malaysian Update

The post “Umi Tunggu Di Sini…” – Lebih Sehari Hilang, Adik Zarif Masih Belum Ditemui di Batu Rakit appeared first on The Malaysian Update.