KUALA LUMPUR - UMNO kekal komited terhadap kestabilan Kerajaan Persekutuan dan akan terus menghormati Perjanjian Kerajaan Perpaduan yang dimeterai selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata perjanjian itu dimeterai bagi membentuk serta menjamin kestabilan Kerajaan Persekutuan sepanjang penggal Parlimen ke-15 dengan kerjasama parti yang berbeza berasaskan semangat saling menghormati tanpa menghapuskan identiti, orientasi atau pendirian politik masing-masing.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, sebarang perbezaan yang wujud pada peringkat Persekutuan perlu diurus secara matang agar tidak menjejaskan pentadbiran dan keyakinan rakyat.
"Keutamaan kita mestilah memastikan Kerajaan Persekutuan terus stabil, agenda reformasi dilaksanakan dan kesejahteraan rakyat sentiasa didahulukan sehingga ke penghujung penggal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Berhubung dakwaan UMNO mengkhianati Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan Azalina berkata, perkara itu tidak wajar dinilai secara terasing atau semata-mata berdasarkan keputusan politik pada peringkat negeri.
Beliau berkata dakwaan sedemikian perlu dinilai secara tenang, bertanggungjawab dan berdasarkan fakta.
Azalina berkata, Malaysia ialah sebuah Persekutuan dan kerjasama politik pada peringkat negeri tidak semestinya perlu menyalin hasil formula gabungan politik yang sama pada peringkat Persekutuan.
Beliau berkata setiap negeri mempunyai mandat dan realiti politik tersendiri dengan rakyat pada peringkat negeri juga mempunyai aspirasi dan berhak menentukan wakil serta kerajaan pilihan mereka melalui proses demokrasi.
Oleh itu beliau berkata, perbezaan strategi atau kerjasama dalam sesuatu PRN tidak dengan sendirinya membuktikan Perjanjian Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan telah dilanggar.
Dalam pada itu, Azalina berkata, wacana mengenai Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan seharusnya memberikan tumpuan terhadap keupayaan melaksanakan komitmen kepada rakyat.
"Kerajaan Perpaduan perlu meneruskan pelaksanaan komitmen kepada rakyat sepanjang baki tempoh Parlimen ke-15 sebagaimana dijanjikan dalam manifesto blok politik masing-masing pada PRU15,” katanya. - Bernama






