
PETALING JAYA: Perbezaan strategi dan kerjasama politik dalam pilihan raya negeri (PRN) bukan bermakna perjanjian Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan telah dilanggar.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perjanjian Kerajaan Perpaduan dimeterai selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi membentuk dan menjamin kestabilan pentadbiran kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, kerjasama berkenaan menghimpunkan parti yang berbeza atas semangat saling menghormati tanpa menghapuskan identiti, orientasi atau pendirian politik masing-masing.
“Dalam konteks tersebut, dakwaan UMNO ‘mengkhianati’ PKR dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan tidak wajar dinilai secara terasing atau semata-mata berdasarkan keputusan politik di peringkat negeri.
“Dakwaan sedemikian perlu dinilai secara tenang, bertanggungjawab dan berdasarkan fakta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azalina berkata, Malaysia ialah sebuah Persekutuan dan kerjasama politik di peringkat negeri tidak semestinya perlu menyalin formula gabungan politik yang sama di peringkat Persekutuan.
“Setiap negeri mempunyai mandat dan realiti politiknya yang tersendiri dan akhirnya, rakyat di peringkat negeri juga mempunyai aspirasi masing-masing serta berhak menentukan wakil dan kerajaan pilihan mereka melalui proses demokrasi peringkat negeri.
“Oleh itu, perbezaan strategi atau kerjasama dalam sesuatu pilihan raya negeri tidak dengan sendirinya membuktikan bahawa perjanjian Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan telah dilanggar,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azalina berkata, wacana mengenai Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan sepatutnya memberi tumpuan kepada keupayaannya melaksanakan komitmen kepada rakyat.
Katanya, Kerajaan Perpaduan perlu meneruskan pelaksanaan komitmen kepada rakyat dalam baki tempoh Parlimen Ke-15 seperti yang dijanjikan dalam manifesto blok politik masing-masing pada PRU15.
“UMNO kekal komited terhadap kestabilan Kerajaan Persekutuan dan akan terus menghormati perjanjian yang telah dimeterai.
“Sebarang perbezaan yang wujud di peringkat Persekutuan perlu diurus secara matang agar tidak menjejaskan pentadbiran dan keyakinan rakyat,” katanya. – UTUSAN
The post Perbezaan strategi PRN bukan bermakna UMNO langgar janji appeared first on Utusan Malaysia.






