
PETALING JAYA: UMNO melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membayar denda RM50 juta.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan susulan perkembangan terbaharu membabitkan Najib yang mendapat pengampunan bersyarat bagi menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Katanya, penubuhan tabung itu merupakan inisiatif Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai tanda keprihatinan dan solidariti seluruh keluarga UMNO serta rakyat Malaysia yang mahu memberikan sokongan kepada Najib.
“Inisiatif ini dizahirkan sebagai tanda keprihatinan dan solidariti seluruh keluarga UMNO serta rakyat Malaysia yang ingin bersama-sama memberikan sokongan kepada Datuk Seri Najib yang banyak jasanya pada negara.
“Justeru, kepimpinan, ahli UMNO serta seluruh masyarakat dijemput untuk menyumbang secara sukarela mengikut kemampuan masing-masing melalui saluran rasmi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Asyraf Wajdi mengajak kepimpinan dan ahli UMNO serta seluruh masyarakat untuk menyumbang ke akaun Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) di CIMB Islamic bernombor 8604886094
Katanya, akaun berkenaan diselia oleh Ibu Pejabat UMNO Malaysia bagi tujuan kutipan Tabung Solidariti Najib Razak.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas keprihatinan, sokongan dan keikhlasan semua pihak yang bersama-sama menjayakan inisiatif berkenaan.
“Terima kasih atas keprihatinan, sokongan dan keikhlasan seluruh rakyat yang bersama dalam inisiatif ini,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib bagi menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. – UTUSAN
The post UMNO lancar Tabung Solidariti Najib Razak kumpul RM50 juta appeared first on Utusan Malaysia.






