UMNO Negeri Sembilan nafi 'tebuk atap' berpakat dengan PN

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 1:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: UMNO Negeri Sembilan nafi 'tebuk atap' berpakat dengan PN
Jalaluddin

SERMBAN - UMNO Negeri Sembilan menafikan dakwaan yang ada pakatan awal bersama lima Ahli Dewan Undangan(ADUN) Perikatan Nasional(PN) untuk menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun apabila mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kerajaan negeri di bawah kepimpinan Pengerusi Pakatan Harapan(PH) Negeri Sembilan itu.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, jika adanya perancangan awal ke arah itu, semestinya sejak awal lagi ia telah pun dibuat, bukannya hanya pada waktu sekarang.

"Kita tidak ada niat untuk menjatuhkan Menteri Besar dan kita tidak jadikan penangguhan persidangan DUN sebagai sebab untuk kita tarik sokongan.

"Jangan 'pusing' ke situ. Kalau Loke Siew Fook (Pengerusi DAP Negeri Sembilan) kata kita tebuk atap, dari dulu lagi kita dah tebuk kerana kita ada 14 kerusi dan jika campur lima (ADUN PN) dah jadi 19," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Menurutnya, tidak ada alasan untuk UMNO melakukan sedemikian kerana telah pun berada dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Malah jelasnya, UMNO sanggup hilang kuasa berada dalam kerajaan demi mempertahankan prinsip perjuangan parti.

"Tebuk atap maknanya daripada jadi pembangkang nak jadi kerajaan dan sekarang ini kita berada dalam kerajaan.

"Saya Exco Kanan dan ada tiga lagi Exco UMNO-BN, kesemua 14 ADUN BN. Jadi tiada alasan untuk kata kita tebuk atap kerana sekarang kita sanggup hilang kuasa berada dalam kerajaan demi mempertahankan prinsip perjuangan parti UMNO," katanya.

Justeru beliau berpandangan, antara langkah terbaik ketika ini adalah membubarkan DUN bagi membolehkan mandat baharu diberikan oleh rakyat, sekali gus memastikan kestabilan pentadbiran negeri dapat dipulihkan.

Bagaimanapun ujarnya, segala keputusan lanjut bergantung kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selaras dengan peruntukan perlembagaan negeri.

Dalam pada itu ujarnya, UMNO Negeri Sembilan juga tidak menolak kemungkinan akan mengambil langkah susulan, namun menegaskan pihaknya akan mematuhi proses perundangan dan perlembagaan dalam setiap tindakan yang diambil.