
PETALING JAYA: Sapura Industrial Berhad (SIB) memperluaskan segmen perniagaannya daripada pembuatan komponen automotif kepada komponen tenaga berketepatan tinggi menerusi pelancaran kilang SIB ZZT di Gurun, Kedah.
Kilang itu dibangunkan hasil kerjasama strategik antara SIB dan Zhejiang Zhongze Precision Technology Co. Ltd. (ZZ Tech), dengan fokus kepada pembuatan komponen untuk industri penyimpanan tenaga.
Projek berkenaan dijangka mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang pembuatan termaju.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kehadiran SIB ZZT merupakan penambahan strategik kepada ekosistem pembuatan termaju dan sektor tenaga yang sedang berkembang di Kedah.
“Projek ini turut memperkukuh keupayaan pembuatan tempatan, selain menyokong keperluan pasaran serantau dan antarabangsa.
“Ia turut memperkukuh ekosistem pembuatan tenaga Malaysia serta menyokong peningkatan permintaan global dan serantau terhadap penyelesaian penyimpanan tenaga,” katanya dalam kenyataan.
Kilang pembuatan SIB ZZT itu merupakan fasa pertama projek pengembangan pembuatan berbilang fasa yang dirancang bagi menyokong pertumbuhan perniagaan dan permintaan pasaran pada masa depan.
Kemudahan berorientasikan eksport itu menghasilkan bekas bateri berketepatan tinggi dan penutup bateri untuk aplikasi penyimpanan tenaga, dengan pengeluaran disasarkan kepada pelanggan di pasaran antarabangsa.
Kilang berkenaan turut dilengkapi teknologi pembuatan pintar, termasuk automasi dan sistem kebolehkesanan menyeluruh bagi memastikan tahap kualiti, ketepatan dan kecekapan operasi yang tinggi.
Tapak kilang itu juga mempunyai keluasan tanah yang mencukupi bagi menyokong pengembangan pada masa depan, sejajar dengan pertumbuhan perniagaan dan permintaan pasaran.
Sementara itu, Pengarah Urusan Sapura Industrial Berhad, Datuk Syed Izuan Syed Kamarulbahrin berkata, pembukaan kilang SIB ZZT merupakan pencapaian penting dalam usaha syarikat mempelbagaikan perniagaan dan meneroka segmen pertumbuhan baharu.
“Dengan pengalaman pembuatan selama beberapa dekad, SIB ZZT mewakili langkah strategik kami untuk mempelbagaikan perniagaan ke arah pembuatan komponen tenaga berketepatan tinggi serta membuka platform baharu untuk pertumbuhan jangka panjang.
“Melalui inovasi, kerjasama dan pembuatan termaju, kami berhasrat mencipta nilai jangka panjang sambil menyumbang kepada perkembangan ekosistem pembuatan tenaga Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi ZZ Tech, Wu Shang berkata, Malaysia menawarkan asas pembuatan yang kukuh, manakala SIB mempunyai pengalaman industri yang luas serta keupayaan operasi yang kukuh.
“Dengan menggabungkan kepakaran teknologi ZZ Tech dan pengalaman industri Sapura Industrial Berhad, kami membina asas pembuatan komponen tenaga berketepatan tinggi yang berdaya saing di Malaysia bagi memenuhi keperluan pasaran serantau dan global,” katanya.
Selain itu, kemudahan berorientasikan eksport tersebut dijangka membuka peluang kepada pembekal tempatan dan industri sokongan, selain menggalakkan pemindahan teknologi serta pembangunan keupayaan industri.
Kerjasama antara SIB dan ZZ Tech itu juga dijangka menyokong usaha penyetempatan rantaian bekalan.
Ia selain menyumbang kepada agenda Peralihan Tenaga Negara dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pangkalan pembuatan komponen bateri dan penyimpanan tenaga di peringkat serantau serta global.-UTUSAN
The post SIB lancar kilang pembuatan komponen tenaga di Kedah appeared first on Utusan Malaysia.





