SHAH ALAM - UMNO Selangor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan segera dijalankan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki serta individu yang terlibat dalam penyebaran gambar didakwa menghina institusi diraja.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, tindakan itu diambil susulan polemik tercetus akibat isu dibangkitkan ADUN berkenaan yang didakwa menyentuh sensitiviti rakyat.
Selain itu, katanya, pihaknya memandang serius penyebaran gambar suntingan melampau yang dikaitkan dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan menyifatkannya sebagai penghinaan keterlaluan terhadap institusi Diraja.
"UMNO Selangor mendesak tindakan tegas diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian negeri serta menghina institusi Raja-Raja Melayu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Jamal menegaskan, institusi Diraja perlu dihormati dan sebarang tindakan yang mencabar kedaulatan serta maruah Sultan Selangor tidak boleh dipandang ringan.
"Kenyataan yang dibangkitkan beliau bukan sahaja menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam, malah dilihat telah menghasut serta membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk bertindak lebih melampau sehingga sanggup menghina Sultan Selangor," jelas beliau.
Lebih mengejutkan, katanya, satu gambar yang disunting secara melampau dan biadab telah tular dengan memaparkan wajah dan menghina baginda Sultan Selangor.
"Tindakan sebegini adalah satu penghinaan keterlaluan terhadap institusi Diraja Selangor dan tidak boleh diterima sama sekali oleh rakyat yang menjunjung kedaulatan.
"Saya ingin menegaskan tindakan ADUN Seri Kembangan yang gagal memahami sensitiviti rakyat serta terus memainkan isu mencetuskan kemarahan awam adalah punca kepada tercetusnya keadaan yang tidak sihat ini," tambah beliau.






