SHAH ALAM - Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar mempersoalkan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki kononnya membawa suara rakyat berhubung cadangan penternakan babi moden di Selangor.
Menurutnya, sepanjang beliau turun padang hampir setiap hari dan minggu bertemu masyarakat di pelbagai kawasan di negeri ini serta seluruh negara, isu itu tidak pernah menjadi keutamaan rakyat.
"Rakyat yang mana dimaksudkan ADUN Seri Kembangan mahu penternakan babi?
"Terus terang saya katakan, setakat ini saya belum pernah mendengar rakyat menjadikan pembukaan semula ladang penternakan babi sebagai keutamaan mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Rosni berkata, kebanyakan rakyat yang ditemuinya lebih menumpukan kepada isu kos sara hidup, harga barang, peluang pekerjaan, banjir, masalah jalan rosak serta masa depan anak-anak.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada dakwaan membawa suara rakyat itu mewakili majoriti penduduk Selangor atau sekadar kelompok tertentu.
"Apabila sesuatu cadangan menerima kecaman, jangan jadikan nama rakyat sebagai perisai untuk menutup kelemahan sendiri.
"Wakil rakyat perlu jujur dalam membawa mandat kerana rakyat bukan alat politik bermusim,” jelas beliau.
Beliau menegaskan, keutamaan ketika ini adalah mencari penyelesaian terhadap isu yang benar-benar membebankan rakyat, bukannya mencetuskan polemik yang tidak memberi manfaat.
"Jika benar mahu membawa suara rakyat, bawalah isu yang dekat dengan kehidupan rakyat.
"Selangor perlukan penyelesaian, bukan polemik yang tidak menyelesaikan apa-apa," tambah beliau.
Terdahulu, Siew Ki menegaskan kenyataannya yang mencadangkan penternakan babi secara moden dibenarkan di Selangor adalah berdasarkan suara sebahagian rakyat di kawasan tersebut.
Menurutnya, sebagai wakil rakyat yang dipilih, menjadi tanggungjawab beliau untuk membawa dan menyuarakan isu berkaitan ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Terdahulu, Siew Ki semasa membahaskan titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Rabu memohon pertimbangan kerajaan negeri memberi ruang kepada penerokaan sistem penternakan babi secara moden dan tertutup di Selangor.
Bagaimanapun, ADUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin mengemukakan usul tergempar untuk merujuk Siew Ki ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan berhubung isu penternakan babi di negeri itu mengikut Peraturan 26(1) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor dan telah diterima untuk pertimbangan.






