SHAH ALAM - UMNO Bahagian Shah Alam mengecam dengan sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyunting serta menyebarkan imej penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, perbuatan jijik tersebut bukan sekadar menghina peribadi baginda, malah merupakan penghinaan terbuka terhadap institusi kesultanan Selangor, lambang kedaulatan negeri, payung rakyat serta tonggak keharmonian yang wajib dipertahankan.
Beliau berkata, tindakan biadab seperti itu jelas menunjukkan sikap melampau, tidak bertamadun dan langsung tidak menghormati undang-undang, adat serta tatasusila rakyat Malaysia.
"UMNO Shah Alam menegaskan bahawa mana-mana pihak yang berani memperlekeh, menghina atau mencabar martabat institusi diraja mesti dikenakan tindakan paling tegas tanpa sebarang kompromi. Tiada ruang toleransi terhadap penghinaan seumpama ini," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di Seksyen 9 di sini pada Isnin.
Laporan tersebut dibuat kepada pihak polis bagi menyiasat penyebaran gambar di media sosial yang disunting secara melampau dan biadab.
Azhari berkata, pihaknya berharap dengan laporan tersebut siasatan dapat dijalankan, dalang sebenar dikenal pasti, pelaku ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.
Jelasnya lagi, pihaknya turut mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta semua agensi penguatkuasaan bertindak pantas dan tegas tanpa sebarang kelewatan.
"Jangan sesekali ada pihak menyangka penghinaan terhadap Sultan Selangor boleh dipandang ringan atau dilepaskan begitu sahaja. Rakyat Selangor menjunjung tinggi institusi diraja dan tidak akan berdiam diri terhadap sebarang cubaan mencemarkan maruah negeri ini.
"UMNO Shah Alam akan terus berdiri teguh di barisan hadapan mempertahankan maruah Sultan Selangor serta kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu daripada sebarang penghinaan," tegasnya.






