UMNO tiada apa nak disembunyikan, dedah sahaja laporan RCI TH – Ismail Sabri

LocalPolitics
29 Jul 2026 • 2:55 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menggesa kerajaan supaya mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH), sambil menegaskan UMNO tidak mempunyai sebarang perkara untuk disembunyikan.

Image from: UMNO tiada apa nak disembunyikan, dedah sahaja laporan RCI TH – Ismail Sabri

Memetik laporan Free Malaysia Today, menurut beliau, penubuhan RCI itu sendiri dicadangkan oleh UMNO susulan pelbagai isu yang dibangkitkan mengenai pengurusan TH, termasuk pemindahan aset kepada sebuah syarikat tujuan khas (SPV).

“Dari segi UMNO, sangat jelas bahawa kita yang mahu RCI ditubuhkan.
“Kalau siasatan sudah selesai, tidak perlulah disimpan. Keluarkan apa yang ada dan sesiapa yang bersalah perlu dipertanggungjawabkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program sembang santai bersama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng, Mohd Asna Amin, di Seremban.

Ismail, yang juga bekas Naib Presiden UMNO, menjelaskan bahawa cadangan untuk menubuhkan RCI telah mendapat kelulusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum dibawanya ke Jemaah Menteri ketika menerajui kerajaan pada tahun 2021.

Katanya, tujuan siasatan tersebut bukan untuk menzalimi mana-mana pihak, sebaliknya bagi mendapatkan kebenaran berhubung pelbagai dakwaan serta serangan politik yang ketika itu membelenggu TH.

“Sebab itu, jalan terbaik adalah membiarkan RCI dipengerusikan individu yang tiada kaitan dengan politik. Ahlinya juga bukan orang politik dan pelantikan mereka diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
“UMNO tiada apa yang mahu disorok dalam isu ini. Kalau siasatan sudah selesai, bentangkan kepada rakyat supaya mereka tahu perkara sebenar berlaku,” jelasnya.

RCI berkenaan ditubuhkan bagi menyiasat pengurusan serta operasi TH sepanjang tempoh 2014 hingga 2020, termasuk isu yang dibangkitkan menerusi audit oleh PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger.

Suruhanjaya itu dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Mohamed Raus Sharif.

Artikel lain: Tiada cabar prosiding, wang tunai lebih RM169 juta milik Ismail Sabri jadi hak kerajaan

Kabinet dijadual membuat keputusan hari ini sama ada laporan RCI tersebut akan didedahkan kepada umum.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa sebarang tindakan susulan berkaitan laporan itu perlu melalui proses perundangan tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Sumber: Free Malaysia Today

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved