UMNO tidak akan sanggah Anwar, terus bersama Kerajaan Perpaduan

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 9:33 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: UMNO tidak akan sanggah Anwar, terus bersama Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan menyanggah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal pentadbiran.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian itu selaras dengan resolusi yang telah dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebelum ini.

Menurut beliau, parti itu akan terus berada dalam Kerajaan Perpaduan biarpun terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin dan ahli parti.

“Pendirian kita, kita tidak menyanggah mana-mana susuk tubuh, terutama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana resolusi yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO harus dihormati.

“Kita terus bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang ada ini hingga akhirnya. Kita pun tidak tahu bila akhir penggal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan ucapan penangguhan PAU 2026 di sini hari ini.

Mengulas mengenai perbezaan pandangan yang dibangkitkan perwakilan sepanjang persidangan, Ahmad Zahid berkata, perkara itu perlu dihormati dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi parti.

Katanya, sebarang pendirian rasmi UMNO hanya akan dikeluarkan melalui kenyataan media oleh Setiausaha Agung atau dirinya sendiri.

“Dalam keadaan sedemikian, kita tidak membalas atau membidas mana-mana parti rakan yang sebelum itu mengadakan kongres atau konvensyen mereka.

“Bagi kita, jika kita boleh menghormati perbezaan pandangan ketika kongres dan konvensyen itu diadakan, mereka juga pasti boleh menghormati perbezaan pandangan yang dikemukakan jurucakap sayap-sayap dan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, agenda Malaysia Biru yang dibentangkannya menerusi ucapan dasar akan dijadikan landasan utama tawaran UMNO kepada rakyat Malaysia.

Beliau berkata, agenda berkenaan juga akan menjadi elemen utama dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Untuk manifesto BN, kita akan masukkan ini sebagai elemen utama dan ia akan menjadi manifesto rasmi setelah kita berbincang dengan kepimpinan rakan-rakan komponen BN dan Friends of BN.

“Saya fikir ia tidak harus dijadikan satu polemik di luar oleh mana-mana penganalisis kerana itu adalah dasar dan tawaran kami yang digariskan melalui lapan agenda besar dalam Malaysia Biru,” katanya.- KOSMO! ONLINE.

The post UMNO tidak akan sanggah Anwar, terus bersama Kerajaan Perpaduan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved