Dr Akmal ketuai Himpunan Perpaduan Ummah, sasar sejuta peserta

LocalPolitics
12 Sep 2026 • 9:09 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dr Akmal ketuai Himpunan Perpaduan Ummah, sasar sejuta peserta

KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas bakal mengadakan Himpunan Perpaduan Ummah dengan sasaran menghimpunkan sehingga sejuta umat Islam sebagai usaha memperkukuh persefahaman antara kedua-dua parti.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh telah diberikan mandat untuk menggerakkan penganjuran himpunan berkenaan yang akan didahului siri jelajah di seluruh negeri sebelum kemuncaknya di peringkat pusat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Akmal perlu bekerjasama dengan Pas bagi memastikan gerakan tersebut dilaksanakan secara tersusun dan berterusan.

“Akmal, abang berikan mandat dan kerjasama elok-elok dengan mereka (Pas). Gerakkan roadshow ke negeri-negeri sebelum kemuncak melalui himpunan besar-besaran di peringkat pusat.

“Saya minta seluruh jentera Pemuda di Bahagian dan negeri, dengan dukungan Bahagian, Wanita dan Puteri supaya memberikan sokongan penuh kepada himpunan di peringkat negeri melakukan tafahum siyasi (persefahaman politik) dengan mengadakan gerakan bersama ini supaya ia tersusun dan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, peringkat awal himpunan itu perlu dilaksanakan di negeri yang ditadbir Pas iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Katanya, langkah tersebut juga boleh menjadi medan menguji sejauh mana persefahaman antara UMNO dan Pas sebelum kerjasama lebih luas dibentuk.

“Semoga kerjasama atau kefahaman ini dapat kita sama-sama bina atas asas saling menghormati, tidak khianat dan melaksanakan kejujuran demi kepentingan ummah keseluruhannya,”ujarnya.

Cadangan itu selari dengan pandangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu parti berkenaan menguji kejujuran Pas dalam membentuk persefahaman, khususnya menjelang pilihan raya akan datang. – KOSMO! ONLINE

The post Dr Akmal ketuai Himpunan Perpaduan Ummah, sasar sejuta peserta appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved