
UMNO menegaskan tidak akan lagi menjadikan mana-mana parti politik termasuk Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Pas atau DAP sebagai ‘talian hayat’ bagi memastikan kelangsungan politiknya.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu perlu berdikari dengan membangunkan kekuatan serta strategi sendiri tanpa bergantung kepada kekuatan mana-mana parti lain.
“UMNO juga sangat menyedari bahawa ia tidak boleh bergantung kepada sesiapa. Tidak PH atau PN. Tidak Pas. Apatah lagi DAP.
“Hayat UMNO tidak boleh kita sandarkan pada perhitungan parti lain, atau kekuatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), malam tadi.
Menurut Mohamad, UMNO tidak mempunyai pilihan selain membina semula kekuatan sendiri selepas lapan tahun berada dalam ‘mod bertahan hidup’ susulan kehilangan kuasa pada 2018.
Katanya, parti itu akan terus meneroka segala kemungkinan, merumus serta menilai ancaman bagi memastikan UMNO terus bertahan dan berfungsi sebagai sebuah parti serta wadah perjuangan.
“Kita tiada talian hayat lain, kecuali kebingkasan dan ketahanan sendiri.
“Justeru, tanamlah dalam fikiran kita bahawa, selagi kita bergantung pada parti lain, kita sebenarnya masih jauh dari kepulihan,” katanya.
Mohamad berkata, kebergantungan kepada parti lain mungkin membolehkan matlamat jangka pendek dicapai, namun tindakan itu boleh memudaratkan UMNO dalam jangka panjang.
“Jika kita bergantung kekuatan kepada orang lain, matlamat jangka pendek mungkin tercapai. Tetapi kerugian dalam waktu panjang itu, akan lebih memudaratkan UMNO.
“Pergantungan kepada orang lain adalah formula politik yang tempang. UMNO punya harga diri dan maruah yang tiada timbal balasnya.
Baca juga:“UMNO tidak boleh dibeli dengan kerjasama politik bermusim,” tegasnya.





