UMNO tidak serius agih kerusi – MCA

LocalPolitics
26 Oct 2026 • 10:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: UMNO tidak serius agih kerusi – MCA

PETALING JAYA: UMNO didakwa tidak serius dalam agihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila tidak mendengar pandangan dan gagal berunding dengan komponen Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden MCA, Datuk Lawrence Low Ah Keong berkata, hasrat MCA untuk mempertahankan dua kerusi dimenangi dan menambah dua lagi kerusi untuk ditandingi telah dinafikan, apabila pengumuman calon dibuat tanpa persetujuan.

Beliau mendakwa, perbincangan dengan UMNO melibatkan calon PRN Melaka masih belum dimuktamadkan sehingga mengakibatkan

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong memprotes pada majlis pengumuman calon.

“Kami tidak puas hati kerana hanya dimaklumkan majlis itu berkaitan pelancaran jentera tetapi tiba-tiba ada pengumuman calon sedangkan berdasarkan kefahaman kami perbincangan mengenai calon masih belum dimuktamadkan.

“Jadi MCA mahu mengadakan perbincangan di peringkat BN supaya hasrat dan suara kami dipertimbangkan serta diambil serius sebelum pilihan raya berlangsung,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, MCA diketuai Presidennya bertindak meninggalkan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) serta memutuskan untuk tidak mengiktiraf mana-mana calon yang diumumkan BN.

Difahamkan, ia berpunca daripada majlis pengumuman calon yang tidak mendapat persetujuan pimpinan tertinggi MCA.

Lawrence berkata, MCA mempunyai tujuh kerusi tradisional di Melaka dengan satu daripadanya telah diserahkan kepada UMNO manakala dua lagi dimenangi pada PRN Melaka 2021.

“Kami faham PRN kali ini akan ada kerjasama dengan pakatan lain jadi kerusi perlu diagihkan kepada semua parti terlibat tetapi hasrat MCA adalah mempertahankan dua kerusi dimenangi dan menambah dua lagi kerusi tradisional untuk ditandingi.

“Pada masa sama, Ka Siong belum menghantar nama calon kepada BN, jadi bagaimana mereka tahu jika MCA mahu kekalkan calon sedia ada atau mahukan nama baharu?,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, MCA perlu tegas dengan pendiriannya dan tidak boleh dilihat sebagai hanya sekadar pelengkap dalam BN.

Katanya, sebarang keputusan di peringkat BN perlu mendapat persetujuan secara konsensus kerana ia melibatkan maruah dan kepentingan parti.

“MCA perlu bertegas dengan pendirian tak boleh sekadar jadi pelengkap, tidak boleh jadi ‘pak angguk’ sahaja kerana kami mahu mendapatkan semula kepercayaan masyarakat apatah lagi sokongan mereka kepada PH dan DAP kini sedang merosot.

“Jika MCA kuat siapa yang untung? BN juga yang untung. UMNO kena ambil kira perkara ini, ia bukan hanya melibatkan soal agihan kerusi sahaja tetap kelangsungan MCA untuk kembali kuat di kalangan masyarakat Tionghua,” katanya.

Beliau berkata, UMNO dan MCA perlu diberi ruang dan peluang untuk berbincang berhubung isu ini sedalamnya sebelum memutuskan tindakan seterusnya. – UTUSAN

The post UMNO tidak serius agih kerusi – MCA appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved