
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap pelajar pasti mempunyai cita-cita dan impian yang ingin dicapai apabila sudah dewasa.
Oleh itu, ramai yang berusaha untuk belajar dan mendapatkan keputusan yang cemerlang bagi memudahkan mereka untuk mengorak langkah ke peringkat seterusnya untuk menyambung pelajaran.
Namun tidak semua individu mempunyai peluang untuk menyambung pelajaran disebabkan beberapa faktor seperti kekangan kewangan dan sebagainya.
Uncle Kentang bangga kongsi kisah bantu pelajar dapatkan biasiswa untuk jadi doktor
Baru-baru ini, aktivis masyarakat terkenal iaitu Kuan Chee Heng atau mesra dipanggil Uncle Kentang telah berkongsi kisah kejayaan seorang pelajar yang berjaya menjadi doktor selepas dia membantunya mendapatkan biasiswa.
Menurut Uncle Kentang, pada tahun 2020 dia telah dihubungi oleh seorang wanita, Lim Jia Jia yang juga anak kepada seorang pemandu lori dari Muar, Johor dan memaklumkan ingin berjumpa dengannya.
Dia kemudian memberitahu wanita itu untuk berjumpanya di Bandar Puteri, Puchong.
Jia Jia kemudiannya datang dan mereka berjumpa di kawasan parkir, sebelum memaklumkan kepada Uncle Kentang untuk mendapatkan bantuan biasiswa demi menyambung pelajaran dalam bidang perubatan.
Peroleh keputusan cemerlang, Uncle Kentang bantu hubungi individu yang boleh bagi biasiswa
Sewaktu pertemuan itu, Uncle Kentang menyifatkan wanita berkenaan dilihat sangat memerlukan pertolongan serta perlu membuat pendaftaran dengan segera. Dia kemudian mendapati Jia Jia memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaannya iaitu 10 A.
Tanpa berlengah, Uncle kentang kemudian menghubungi rakannya yang berstatus Datuk Seri di Puchong untuk meminta bantuan serta menceritakan hal sebenar.
Datuk Seri berkenaan kemudiannya meminta mereka hadir ke pejabat untuk berjumpa. Pada keesokan harinya Uncle Kentang dan Jia Jia berkunjung ke pejabat individu berkenaan dan menunggunya hampir dua jam untuk bertemu.
“Dia (Datuk Seri) tanya saya berapakah kos bagi bidang perubatan. Saya kemudian hubungi rakan, Profesor Jalil di Management and Science University (MSU) dan dimaklumkan kos untuk bidang itu RM324,00 pada ketika itu,” ujarnya.
Dapat biasiswa RM324,000, kini doktor pelatih di Hospital Sungai Buloh
Hartawan berkenaan kemudian bersetuju untuk memberikan biasiswa kepada Jia Jia untuk meneruskan pelajaran dalam bidang perubatan. Jelas Uncle Kentang, selepas pertemuan tersebut dia tidak lagi berjumpa mahupun berhubungi dengan Jia Jia.
Namun pada 17 Mei dia menerima perkhabaran gembira apabila pelajar yang dibantunya itu sudah menamatkan pelajarannya dan kini sedang menjadi doktor pelatih di Hospital Sungai Buloh.
Malah dia turut memuji keberanian Jia Jia yang sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-cita untuk menjadi seorang doktor dan membanggakan keluarga.
“Tiada siapa tahu dia datang berjumpa saya. Ia adalah impiannya untuk menjadi seorang doktor sehingga membuatkan dia ‘gila’ (bertindak berani) untuk mendekati kami. Terima kasih kepada Prof Jalil dan MSU kerana menjadikan dia (Jia Jia) seorang doktor.
“Untuk maklumat, meskipun Datuk Seri bersetuju untuk memberi biasiswa RM324,000, namun Jia Jia hanya menggunakan RM100,000 lebih darinya kerana dia juga membuat permohonan lain dengan keputusan cemerlang sewaktu belajar bidang perubatan.
“Dia sebenarnya seorang yang bijak malah universiti juga menyedari keputusan cemerlangnya itu,” kata Uncle Kentang lagi.
Melihat di ruangan komen, ramai yang turut mengucapkan tahniah kepada Uncle Kentang, Jia Jia termasuk Datuk Seri yang membantunya dalam mencapai cita-cita menjadi seorang doktor.
Berikut adalah komen netizen:
“Tahniah kepada awak berdua. Terima kasih kepada yang membantu anak muda ini mencapai cita-citanya. Kini tiba masa dia membantu orang lain”

“Jangan pernah berhenti mengejar cita-cita. Dia begitu gagah, berani dan tetap pendirian untuk menjadi seorang doktor”

“Sangat menginspirasikan dan teruja baca kisah doktor Jia Jia”





![Termasuk Jalan Mati, Tular Rakaman CCTV Pencuri Kelisa Berjaya Dicekup [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/local.jpeg)