Unibet sasar tiga pendakian LTdL26, Christophersen jadi sandaran utama pasukan

13 Sep 2026 • 1:47 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Unibet sasar tiga pendakian LTdL26, Christophersen jadi sandaran utama pasukan

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: ProTeam Perancis Unibet Rose Rockets mempertaruhkan empat pelumba pendakian dalam barisan enam pelumbanya pada edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang bermula 27 Sept ini.

Majlis Sukan Negara (MSN) selaku sekretariat LTdL memaklumkan kekuatan Unibet turut diperkuat dua pakar pecut di bawah kendalian pengurus Joram Grootveld, sekali gus memberi gambaran sasaran lebih besar berbanding satu kemenangan peringkat yang diraih Zeb Kyffin pada Peringkat 7, tahun lepas.

Mengetuai cabaran Unibet ialah Cedrik Bakke Christophersen, 24, yang menduduki tempat kelima keseluruhan LTdL25 selain pelumba Belanda Owen Geleijn, 25, yang menamatkan saingan di kedudukan ke-22.

Christophersen yang hanya ketinggalan 11 saat di belakang juara LTdL25 Joris Delbove dari TotalEnergies akan menjadi sandaran utama pasukan, lebih-lebih lagi selepas memenangi satu peringkat Arctic Race of Norway bulan lepas dan menamatkan perlumbaan itu di kedudukan kelapan keseluruhan.

Pengalaman beraksi di LTdL25 bakal diperkuat dengan kehadiran pelumba Jerman Peter Jannis, 25, dan pelumba Norway Eivend Broholt Fougner, 23, yang turut menjadi taruhan Unibet khususnya di laluan pendakian.

Dua pakar pecut melengkapkan barisan utama Unibet ialah pelumba Ireland Rory Townsend, 31, dan pelumba muda Perancis Ronan Auge, 22, yang dijangka menjadi taruhan pasukan di laluan landai.

"Namun agak menarik dan tidak mustahil perubahan saat akhir akan berlaku kerana pasukan berpangkalan di Zwolle dan dikenali sebagai Unibet Tietema Rockets tahun lepas itu, turut menyenaraikan pelumba handalan berusia 38 tahun yang pernah mengecap kemenangan peringkat Grand Tour di Tour de France 2023 dan Vuelta a Espana 2023, Wout Poels; selain seorang lagi pendaki handalan dari Czech, Adam Toupalik," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Sekretariat LTdL26 Emir Abdul Jalal berkata senarai nama dilampirkan Unibet kali ini tampak lebih cenderung untuk menawan tiga peringkat pendakian di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands.

“Pasukan ini pasti membuat ‘kerja rumah’ lebih awal sebelum memutuskan siapa pelumba yang mahu dihantar ke LTdL26 ini kerana ia berbeza dengan hanya satu pendakian agak mudah ke Bukit Fraser pada tahun lepas.

“Nama Wout Poels dalam senarai pelumba simpanan itu mengesahkan mereka serius untuk mencipta impak lebih besar kali ini kerana Poels yang berpengalaman bersama pasukan WorldTeam Vacansoleil sejak 2011, sebelum menyertai Sky, Bahrain Merida dan Astana serta mengumpul 26 kemenangan dalam kariernya adalah nama besar dan disegani di pentas antarabangsa," katanya.

LTdL26 yang berstatus 2.ProSeries akan bermula dengan Peringkat 1 dari Shah Alam ke Kampar pada 27 Sept ini dan berakhir dengan Peringkat 8, Muar-Putrajaya pada 4 Okt membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,285.5km.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved