hamden05/11/2026 - 16:16 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov - United Asiapac Energy Berhad menerusi anak syarikatnya, Asiapac, memperoleh perintah injunksi Fortuna daripada Mahkamah bagi menghalang tindakan petisyen penggulungan terhadap syarikat itu berhubung tuntutan pembayaran yang dikenakan terhadapnya.
Dalam pengumuman kepada Bursa Malaysia, Lembaga Pengarah memaklumkan Mahkamah membenarkan permohonan injunksi Fortuna itu pada pendengaran yang berlangsung pada 5 November 2026.
Menerusi keputusan berkenaan, pihak Defendan, FS, dihalang daripada memfailkan, mengemukakan atau meneruskan sebarang petisyen penggulungan terhadap Asiapac.
Larangan itu meliputi tindakan yang berasaskan notis di bawah Seksyen 466 Akta Syarikat 2016 serta sebarang notis lain berkaitan jumlah tuntutan berkenaan.
Perintah tersebut turut meliputi tindakan yang dilakukan sendiri oleh FS atau melalui pekerja, ejen, kakitangan mahupun mana-mana pihak lain.
Mahkamah bagaimanapun tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
Lembaga Pengarah menyifatkan keputusan itu sebagai perkembangan positif kepada Asiapac dan kumpulan kerana ia menghapuskan ancaman segera prosiding penggulungan yang berpunca daripada jumlah tuntutan berkenaan.
Syarikat turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus melindungi kepentingan Asiapac dan kumpulan. - DagangNews.com






