Theta Edge peroleh kontrak RM33 juta bekal 5,742 unit komputer kepada Aceteam

LocalBusiness & Finance
3 Nov 2026 • 6:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Theta Edge peroleh kontrak RM33 juta bekal 5,742 unit komputer kepada Aceteam Image from: Theta Edge peroleh kontrak RM33 juta bekal 5,742 unit komputer kepada Aceteam hamden03/11/2026 - 18:21 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Nov - Theta Edge Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Theta Technologies Sdn Bhd, memperoleh pelantikan eksklusif bernilai RM33.01 juta bagi perolehan dan pembekalan sehingga 5,742 unit komputer riba serta komputer meja kepada Aceteam Networks Sdn Bhd.

 

Theta Edge dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Theta Technologies menerima dan bersetuju dengan Surat Anugerah (LOA) daripada Aceteam pada 3 November 2026 bagi pembekalan perkakasan di bawah Projek Pengurusan Kitaran Hayat Peranti sebagai Perkhidmatan (DaaS).

 

Nilai keseluruhan pelantikan itu berjumlah RM33,011,544.88, tidak termasuk cukai yang berkenaan, dengan komitmen pembelian maksimum sebanyak 5,742 unit komputer riba dan komputer meja.

 

Di bawah skop pelantikan, Theta Technologies bertanggungjawab mendapatkan serta membekalkan perkakasan tulen, baharu dan belum pernah digunakan menerusi saluran pengedaran tempatan yang dibenarkan pengeluar.

 

Pembekalan akan dibuat kepada Aceteam atau lokasi penghantaran yang ditetapkan, berdasarkan spesifikasi, kuantiti, harga dan keperluan penghantaran yang dipersetujui menerusi pesanan pembelian masing-masing.

 

Tempoh pelantikan bermula pada tarikh penghantaran pertama dan berkuat kuasa sehingga 60 bulan selepas Ujian Penerimaan Pengguna (UAT) berjaya diselesaikan, melainkan ditamatkan lebih awal mengikut terma dan syarat LOA.

 

Menerusi pelantikan itu, Theta Technologies dijangka mengembangkan aktiviti perniagaannya dalam perolehan dan pembekalan perkakasan komputer, sekali gus membuka peluang menjana pendapatan tambahan serta mengukuhkan hubungan perniagaannya dengan Aceteam.

 

Sumbangan daripada pelantikan itu dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan Theta Edge dan Theta Technologies sepanjang lima tahun kewangan akan datang, bermula tahun kewangan berakhir 31 Disember 2027.

 

Sementara itu Aceteam merupakan penyedia penyelesaian teknologi maklumat Malaysia yang ditubuhkan pada 2012 dengan modal berbayar RM10 juta.

 

Syarikat itu menawarkan pelbagai rumusan dan perkhidmatan IT, termasuk rangkaian data, komunikasi bersepadu, keselamatan siber, pusat operasi keselamatan, penyelesaian awan dan pusat data, serta pembekalan dan penghantaran perkakasan.

 

Pelanggan Aceteam merangkumi sektor kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat tersenarai awam dan syarikat persendirian dalam industri penjagaan kesihatan, perusahaan, pendidikan, perkhidmatan kewangan serta telekomunikasi. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved