Konsortium Tanco, CNECC menang kontrak pembinaan kompleks gudang perindustrian bernilai RM700 juta di Pulau Indah

LocalBusiness & Finance
5 Nov 2026 • 3:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Konsortium Tanco, CNECC menang kontrak pembinaan kompleks gudang perindustrian bernilai RM700 juta di Pulau Indah Image from: Konsortium Tanco, CNECC menang kontrak pembinaan kompleks gudang perindustrian bernilai RM700 juta di Pulau Indah hamden05/11/2026 - 15:42 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Nov - Tanco Holdings Bhd (Tanco) menerusi anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Tanco Builders Sdn Bhd (TBSB), memperoleh kontrak bernilai RM700 juta bagi pembinaan kompleks gudang perindustrian di Pulau Indah, Klang, Selangor.

 

Kontrak itu dianugerahkan oleh Jaroses Partners Sdn Bhd (JPSB) menerusi surat anugerah (LOA) bertarikh 5 November 2026 kepada TBSB bersama rakan konsortiumnya, CNECC Engineering (Malaysia) Sdn Bhd (CNECC Malaysia).

 

Susulan penerimaan LOA itu, kedua-dua syarikat turut memeterai perjanjian konsortium pada tarikh sama bagi melaksanakan dan menyiapkan keseluruhan projek mengikut terma serta syarat yang dipersetujui.

 

Menurut Tanco dalam makluman kepada Bursa Malaysia, projek berkenaan membabitkan pembangunan kompleks gudang perindustrian di atas tanah PT 154764, Lebuh Raya Pulau Indah, Pulau Indah, Klang.

 

Skop pembangunan merangkumi dua unit gudang suhu ambien satu tingkat, sebuah gudang penyimpanan sejuk bersama bilik pemampat, bangunan pejabat, kantin dan surau.

 

Ia turut merangkumi pembinaan pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB), rumah pam dan bilik elektrik, pondok pengawal serta loji rawatan kumbahan.

 

"Nilai kontrak sebanyak RM700 juta itu merangkumi semua cukai, duti, levi dan fi yang dikenakan kerajaan Malaysia pada tarikh LOA, tetapi tidak termasuk cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan kerja pembinaan di bawah Akta Cukai Perkhidmatan 2018," katanya dalam makluman tersebut.

 

Rancangan pelaksanaan

Bagi tempoh pelaksanaan, kerja-kerja tanah ditetapkan untuk disiapkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh permulaannya, manakala kerja-kerja bangunan dan baki kerja perlu diselesaikan dalam tempoh 18 bulan dari tarikh permulaan masing-masing.

 

Bagaimanapun, permulaan kerja-kerja tanah tertakluk kepada JPSB memperoleh Perintah Pembangunan atau Kebenaran Merancang (DO/KM) serta kelulusan awal kerja tanah daripada pihak berkuasa berkaitan.

 

Sementara itu, kerja-kerja bangunan hanya akan dimulakan selepas kelulusan pelan bangunan, Borang B (Notis Permulaan Kerja Bangunan) dan Sijil Pemberitahuan Kerja Pembinaan (SPKP) diperoleh.

 

Pembinaan pencawang TNB 33kV pula ditetapkan untuk disiapkan dalam tempoh 12 bulan selepas kerja-kerja tanah selesai.

 

Di bawah terma kontrak, konsortium dikehendaki mengemukakan bon pelaksanaan berbentuk jaminan bank tanpa syarat dan tidak boleh ditarik balik, bersamaan 10% daripada nilai kontrak atau RM70 juta.

 

Bon itu perlu kekal sah sehingga tiga bulan selepas Sijil Penyiapan Praktikal dikeluarkan.

 

Keperluan penilaian hijau

Projek itu turut menetapkan keperluan penilaian hijau dengan kontraktor perlu mematuhi ketetapan perunding Leadership in Energy and Environmental Design (LEED) yang dilantik majikan serta menggunakan usaha terbaik untuk memperoleh sekurang-kurangnya pensijilan LEED Gold.

 

Sekiranya pensijilan LEED Gold gagal diperoleh akibat ketidakpatuhan kontraktor terhadap keperluan berkenaan, penalti kewangan akan dikenakan dan ditolak daripada nilai kontrak selepas skor akhir LEED disahkan atau diperakukan.

 

Tanco berkata, penerimaan LOA dan pemeteraian perjanjian konsortium itu selaras dengan strategi kumpulan untuk terus mengembangkan perniagaan dalam sektor pembinaan dan bangunan menerusi kepelbagaian jenis projek di Malaysia.

 

Kerjasama berkenaan juga membolehkan kumpulan memanfaatkan kepakaran, pengalaman dan rangkaian rakan kongsi yang berkelayakan serta mempunyai reputasi dan jenama kukuh.

 

Menurut syarikat, LOA dan perjanjian konsortium itu dimeterai dalam perjalanan biasa perniagaan TBSB, manakala risiko berkaitan pelaksanaannya dianggap sebagai risiko operasi biasa yang setara dengan projek pembinaan lain yang mempunyai sifat serupa. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved